Oleh Ramlah Zainal


Bertemakan Raikan Bintang, Anugerah Skrin 2015 (ASK 2015) menyaksikan gandingan mantap artis dan personaliti popular tanah air, Awie dan Fara Fauzana selaku hos acara berprestij berkenaan.

ASK2015 yang mempertaruhkan 31 kategori merangkumi drama, filem, penerbitan dalaman dan teknikal juga bakal berlangsung di Dewan Merdeka Pusat Dagangan Dunia Putra (PWTC), Kuala Lumpur jam 9 malam, Ahad ini.

Secara peribadi, Awie mengakui dia berasa gementar untuk mengendalikan acara berprestij berkenaan buat julung kalinya.

“Terus terang, pada mulanya saya menolak tawaran penerbit untuk menjadi hos ASK2015 kerana tidak yakin untuk mengendalikan acara berprestij itu. Maklumlah, selama ini, saya sering diundang menjadi penyampai anugerah tapi kali ini diberi tanggungjawab lebih berat sebagai hos pula.

“Namun, selepas berfikir panjang dan dapat tahu digandingkan dengan penyampai yang keletah seperti Fara, saya terus terima tawaran daripada penerbit TV3 itu. Pada masa sama, saya melihat tawaran sebagai hos anugerah sebagai platform untuk mengembangkan lagi bakat pengacaraan sedia ada.

“Jika sebelum ini, saya hanya mengendalikan program Tunggu Sekejap di studio tetapi kali ini, saya menjadi hos untuk malam anugerah berprestij pula,” katanya.

Walaupun sibuk dengan agenda seni, Awie berkata, dia tetap membuat persiapan lengkap dengan Fara untuk mengendalikan acara berprestij berkenaan sebaik mungkin.

“Saya ada pengalaman menjadi hos majlis hiburan sebelum ini, tetapi bukan ASK dan membabitkan gandingan dengan hos lain. Pada masa sama, saya juga sudah tahu perjalanan sesebuah majlis anugerah apabila menjadi penyampai sebelum ini.

“Pengalaman yang ditimba itu sedikit sebanyak boleh membantu saya mengendalikan ASK2015 nanti. Selain itu, kami juga pastikan penggunaan bahasa yang sesuai digunakan ketika mengendalikan acara berprestij itu,” katanya.

Pengacara program hiburan Tunggu Sekejap ini berkata, dia juga tidak ada masalah untuk mendapatkan keserasian dengan Fara selaku hos pada ASK2015 nanti.

“Sebagai persiapan, kami juga ada ada sesi pembacaan skrip dan perbincangan lanjut sehingga menjelangnya acara berprestij itu nanti. Tidak timbul soal siapa yang lebih hebat dan menyerlah sebagai hos kerana kejayaan mengendalikan sesebuah acara berprestij membabitkan kerjasama berpasukan.

“Fara juga pengacara berpengalaman dan pastinya dia akan menutup kelemahan saya di pentas nanti. Saya juga yakin gandingan kami pasti menampilkan kelainan pada acara berprestij ini.

“Apapun, kami akan berusaha memberikan yang terbaik dan mampu menghiburkan penonton pada malam itu nanti,” katanya.

Bagi Fara , dia sangat teruja untuk bergandingan dengan Awie buat julung kalinya di pentas ASK2015.

“Ia kali ketiga saya menjadi hos ASK. Kali pertama dengan Afdlin Shauki pada 1997 dan kali kedua bersama barisan hos lain pada penganjuran ASK tahun lalu.

“Saya juga tidak berfikir panjang untuk menerima tawaran penerbit apabila dapat tahu bakal digandingkan dengan Awie pada ASK2015.

“Jika sebelum ini, saya sering digandingkan dengan rakan seperjuangan di Hot FM iaitu Faizal Ismail (FBI) dan AG, kali ini dengan penyanyi popular Awie pula.

“Saya juga suka mencuba sesuatu yang baru dan gandingan dengan Awie dalam ASK 2015 adalah peluang keemasan yang sukar dilepaskan.

“Pada masa sama, saya memang meminati Awie dan menghafal lagunya sejak dulu. Malah, saya pernah menang tempat ketiga pertandingan nyanyian dengan menyampaikan lagu popular Awie, Tragedi Oktober ketika bersekolah dulu,” katanya.

Sebagai pengacara berpengalaman, Fara berkata, dia akan mengendalikan ASK2015 dengan caranya sendiri.

“Saya akan menjadi diri sendiri, begitu juga Awie. Apa yang mencabar, saya dan Awie perlu menari dan menyanyi bersama ketika mengendalikan ASK2015 nanti.

“Pastinya, saya berasa gementar kerana saya bukanlah penyanyi berbanding dengan Awie.

“Bukan saja menyanyi, kami juga dicabar untuk menari dalam menjayakan satu segmen dalam program ini. Saya berharap peminat akan menerima gandingan kami nanti,” katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Rabu, 4 November 2015 @ 7:20 AM