Oleh Mohd Rafi Mamat

Kuantan: Aksi bersemangat dipamerkan pemain memberi kelebihan kepada pasukan Kampung Bukit Ibam, Muadzam Shah, Rompin muncul juara Kejohanan Futsal Belia Orang Asli Pahang di Kuantan Futsal Centre Indera Mahkota, di sini, kelmarin.

Pada saingan akhir pasukan berkenaan menewaskan Peach United dari Kampung Pos Iskandar Bera 3-2 dan membawa pulang hadiah wang tunai RM1,500, piala pusingan, pingat dan hamper.

Naib johan meraih RM1,000, pingat dan hamper, manala tempat ketiga, pasukan Kampung Kuala Boh, Cameron Highlands (RM500) dan Pos Buntu FC Raub (RM300).

Kejohanan anjuran Persatuan Belia Kampung Orang Asli Bukit Bangkong dengan kerjasama Jabatan Kemajuan Orang Asli Pahang (JAKOA) itu menarik penyertaan 31 pasukan belia Orang Asli seluruh negeri.

Majlis penyampaian hadiah disempurnakan Pengerusi Jawatankuasa Belia dan Sukan Pahang, Datuk Mohd Johari Hussain.

Turut hadir Pengarah JAKOA Pahang, Isa Hamid dan Pengerusi Persatuan Belia Kampung Orang Asli Bukit Bangkong, Ir Mahat Mat Dong.

Mahat berkata, penyertaan pada kejohanan kali ini bertambah berbanding tahun lalu dan sambutan menggalakan itu berjaya memeriahkan lagi pertandingan.

“Saya berpuas hati dengan sambutan diterima pada kejohanan kali ini, pertandingan yang menjadi acara tahunan ini turut menawarkan wang lumayan selain pelbagai hadiah iringan.

“Bagi memenuhi permintaan golongan belia wanita, kejohanan futsal akan diadakan di Bera dalam masa terdekat,” kata Mahat yang turut terbabit mengadakan pelbagai program motivasi kepada pelajar Orang Asli.

Artikel ini disiarkan pada : Ahad, 1 November 2015 @ 5:07 AM