Oleh Kalidevi Mogan Kumarappa

Kuala Lumpur: Pusat beli-belah di Jalan Ampang, dekat sini, gempar selepas jaga jumpa tiga beg hitam di pintu utama bangunan itu, pada 12.30 tengah hari, hadi ini.

Ketua Jabatan Siasatan Jenayah Kuala Lumpur, Datuk Zainuddin Ahmad berkata, pihaknya menerima maklumat pengurusan pusat beli-belah itu mengenai penemuan beg itu.

Zainuddin berkata, pengurusan beli-belah itu mendakwa kemungkinan beg itu berisi bom.

Sehubungan itu, katanya, sepasukan polis dari Jabatan Siasatan Jenayah Dang Wangi bersama Unit Pemusnah Bom dikejarkan ke lokasi kejadian.

Katanya, pusat beli belah itu turut ditutup di kawasan pintu utamanya bagi mengelak sebarang kemungkinan.

"Bagaimanapun, selepas membuat pemeriksaan, kami mendapati beg berkenaan hanya berisi pakaian yang mungkin ditinggalkan.

“Kawasan sekitarnya juga sudah diperiksa dan kini selamat untuk digunakan dan dilalui orang awam," katanya ketika dihubungi.

Artikel ini disiarkan pada : Sabtu, 31 Oktober 2015 @ 3:34 PM