FOTO Reuters
FOTO Reuters
Hamdan Saaid


Rio de Janeiro: Beregu utama negara Goh V Shem-Tan Wee Kiong tidak berdepan masalah memenangi perlawanan pembukaan peringkat kumpulan Sukan Olimpik Rio apabila menewaskan beregu Jerman, Michael Fuchs-Johannes Schoettler, hari ini.

V Shem-Wee Kiong, pasangan di ranking ke-13 dunia, menang 21-14, 21-17 pada aksi Kumpulan B dalam masa 42 minit di Pavilion 4 Riocentro.

Mereka akan menentang gandingan Amerika Syarikat, Phillip Chew-Sattawat Pongnairat malam ini dan jika menang melayakkan diri ke suku akhir.

Sementara itu, dua lagi beregu negara turut memenangi perlawanan pertama mereka di peringkat kumpulan.

Beregu campuran Chan Peng Soon-Goh Liu Ying mengatasi Bodin Isara-Savitree Amitrapai dari Thailand 21-13, 21-17 dalam masa 39 minit, manakala beregu wanita Vivian Hoo-Woon Khe Wei mengalahkan Heather Olver-Lauren Smith dari Britain 21-17, 24-22 dalam tempoh 48 minit.

Artikel ini disiarkan pada : Jumaat, 12 Ogos 2016 @ 10:01 AM