RAJA Zairina mempelopori bidang jarang diceburi anak Melayu.
RAJA Zairina mempelopori bidang jarang diceburi anak Melayu.
ANTARA produk yang digunakan Raja Zairina di salunnya.
ANTARA produk yang digunakan Raja Zairina di salunnya.
RAJA Zairina (duduk) bersama rakan perniagaannya di Tyiara Salon, Klang, Selangor.
RAJA Zairina (duduk) bersama rakan perniagaannya di Tyiara Salon, Klang, Selangor.
Oleh Siti Nadirah Hafidzin


Mencecah tempoh 27 tahun berkecimpung dalam dunia dandanan rambut pasti memberi 1,001 suka dan duka buat wanita cekal ini untuk terus berjaya dalam bidang diminatinya.

Tamat latihan diploma dan diploma lanjutan di Peter & Guys School of Hairdressing, Singapura menjadi detik permulaaan buat Raja Zairina Raja Zainal, 46, memulakan langkahnya sebagai pendandan rambut.

Menceritakan detik awal terbabit dalam bidang itu, Raja Zairina yang kini bergelar pendandan rambut profesional mengakui pemilihan bidang terbabit atas faktor minat selain mencari kerjaya yang tidak banyak dipelopori masyarakat Melayu ketika itu.

“Cabarannya agak besar terutama apabila menerima saingan daripada ramai pendandan lain selain berdepan kehendak pelanggan yang sentiasa mahukan gaya rambut terkini dan lain daripada yang lain,” katanya tersenyum.

Justeru, Raja Zairina yang menjalankan perniagaan di Tyiara Salon di Klang ini sentiasa berusaha memberikan khidmat terbaik kepada pelanggan.

“Bukan mudah untuk mendapat kepercayaan daripada pelanggan dan menjadikan pelanggan yang datang sebagai pelanggan. Selain perlu memberikan khidmat terbaik, saya juga perlu bijak berkomunikasi dengan mereka.

“Pelbagai ragam dan kehendak berbeza daripada pelanggan setiap hari dan ia menjadikan saya lebih mahir terutama apabila mereka mahukan gaya rambut yang terbaru atau mencipta gaya sendiri,” katanya.

Raja Zairina yang mempunyai kepakaran dalam bahagian menggunting iaitu lebih kepada aspek teknikal mengakui kemahirannya itu digemari pelanggan.

“Pada peringkat awal dulu, ramai pelanggan seolah-olah tidak percaya saya mampu menggunting rambut dan mencipta gaya luar biasa.

“Namun, lama-kelamaan pandangan itu berubah dan syukur berkat kesabaran, hasil kerja saya semakin dipercayai. Dari situ juga saya mempunyai pelanggan tetap,” ujarnya.

Antara rawatan dan perkhidmatan istimewa yang disediakan di salunnya ialah ‘mandian krim’.

“Rawatan ini cukup terkenal di Indonesia dan mempunyai beberapa pilihan bauan yang mempunyai khasiat yang baik untuk rambut.

“Di Malaysia, tidak semua salun ada menyediakan perkhidmatan ini jadi, ia satu kelebihan kepada saya.

“Rawatan ini amat baik untuk wanita bertudung kerana ia menjadikan rambut lebih sihat selain kekal harum dengan bauan kira-kira dua minggu,” ujarnya.

Memandangkan bidang itu bukan dipelopori anak Melayu, Raja Zairina sentiasa berharap lebih ramai anak muda Melayu yang menceburkan diri dalam bidang itu.

“Selepas berkecimpung dalam tempoh yang lama, saya berhasrat membantu anak muda yang berminat mempelajari bidang ini.

“Hakikatnya tidak susah untuk berjaya dalam bidang ini, namun ia memerlukan kesabaran selain kreatif dalam menghasilkan gaya rambut terkini,” katanya.

Sifat malas dan malu pula perlu dibuang, sebaliknya perlu yakin pada diri sekiranya mahu berjaya.

“Zaman moden ini semua mudah dan canggih, pelanggan datang ke salun dan hanya menunjukkan gaya rambut dikehendaki melalui laman YouTube.

“Ia jauh berbeza daripada dulu kerana kami perlu menyediakan majalah bagi membantu pelanggan mendapatkan gaya rambut yang mereka suka.

“Kini semuanya di hujung jari dan ia juga membantu saya dalam bidang ini terutama untuk lebih berjaya.

“Walaupun sudah bertapak lama dalam bidang ini, bukan bermakna saya sudah berpuas hati kerana beranggapan sesi pembelajaran dalam apa juga bidang itu tidak akan berakhir,” katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Khamis, 29 Oktober 2015 @ 11:25 AM