KICKSTART Barber beroperasi di kedai berkonsepkan kontena di Alor Gajah Sentral.
KICKSTART Barber beroperasi di kedai berkonsepkan kontena di Alor Gajah Sentral.
MUHAMMAD Syafiq menunjukkan gaya memotong rambut untuk pelanggannya.
MUHAMMAD Syafiq menunjukkan gaya memotong rambut untuk pelanggannya.

Alor Gajah: Muhammad Syafiq Ab Rahim, 23, sanggup meninggalkan kerja bergaji lumayan di sebuah syarikat swasta semata-mata mahu mengejar impian untuk terbabit dalam bidang penggayaan rambut.

“Gaji terakhir saya RM6,000 sebulan, namun saya tidak puas. Saya mahu berusaha sendiri dan kerana minat dengan bidang penggayaan rambut, saya nekad memulakan perniagaan berkenaan.

“Saya cuba mencari kelainan dan tidak menyewa kedai. Sebaliknya, saya membelanjakan wang simpanan RM20,000 untuk membeli dan mengubahsuai kontena untuk dijadikan kedai gunting yang lengkap dengan peralatan penggayaan rambut,” katanya ditemui di premis perniagaannya yang terletak berhampiran Alor Gajah Sentral (AG-SENTRAL), di sini.

Menurut Muhammad Syafiq, cabaran pertama dihadapinya ketika memulakan perniagaan berkenaan ialah tiada pelanggan mendapatkan khidmatnya selama beberapa minggu.

Bagaimanapun katanya, ia tidak melemahkan semangatnya kerana yakin perkara itu hanya sementara.

“Sebelum memulakan perniagaan, saya mengembara ke beberapa negara semata-mata untuk bertemu pendandan rambut serta tukang gunting rambut terkenal bagi mendapatkan tip daripada mereka berkaitan kerjaya ini,” katanya.

“Saya bersyukur kerana selepas beberapa minggu, ramai mula mendapatkan khidmat saya. Kini, setiap hari, sekurang-kurangnya 25 pelanggan pelbagai peringkat usia datang ke sini untuk menggunting rambut,” katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Selasa, 22 Disember 2015 @ 8:55 AM