SENTUHAN magis Bambang sering dinanti pelanggan.
SENTUHAN magis Bambang sering dinanti pelanggan.
BAMBANG dan kakaknya, Endang bersama memajukan empayar mereka.
BAMBANG dan kakaknya, Endang bersama memajukan empayar mereka.
BAMBANG teliti dalam memberikan hasil terbaik.
BAMBANG teliti dalam memberikan hasil terbaik.
Yusliza Yakimir Abd Talib


Dalam dunia penggayaan rambut, nama figura ini sememangnya tidak asing malah sentuhan magisnya didambakan ramai pelanggan termasuk selebriti tanah air dek keaslian dan keunikan gaya yang menjadi taruhannya.

Sebelum bertemu empunya nama unik Bambang Sutrisno Soteto, penulis membayangkannya sebagai orang Indonesia kerana nama itu tidak ubah seperti rakyat negara itu namun ternyata sangkaan penulis meleset.

Bambang pantas dapat meneka apa yang bermain di fikiran penulis ketika bersua pertama kali dan katanya, ramai yang tidak mengenalinya menyangkakan dia anak kelahiran republik itu.

“Saya orang Malaysia, lahir di Malaysia, dan membesar di sini, hanya susur-galur keluarga saya dari negara seberang. Nenek moyang saya memang berasal dari sana dan berhijrah ke Malaysia puluhan tahun lalu.

“Bapa saya mahu mengekalkan nama itu kerana mahu warisannya terus dekat dengan negara itu. Adik-beradik lelaki semuanya dengan pangkal nama Bambang, manakala pangkal nama kakak saya pula Endang iaitu nama yang sinonim dengan rakyat negara itu,” katanya membuka bicara.

Mengenai pembabitannya dalam bidang itu, kerjaya sebagai penggaya rambut tidak pernah diimpikan lelaki berusia 35 tahun ini, apatah lagi menjadikan bidang itu sebagai kerjaya profesional dan memberikan pulangan lumayan.

Masakan tidak, bidang pengajian yang diikutinya dan ijazah yang digenggam jauh tersasar daripada kerjayanya. Walaupun Bambang sebenarnya layak bergelar jurutera kimia, ia tidak menghalang dirinya memilih bidang dandanan rambut dek minatnya yang mendalam dalam bidang itu.

Pemilik Ijazah Kejuruteraan Kimia dari Universiti Fachochschule Mannheim, Jerman ini mengakui walaupun mendapat tentangan awal daripada bapanya selepas menamatkan pengajian di negara itu, dia nekad mahu membuktikan bidang dandanan rambut juga mempunyainya kelasnya tersendiri.

“Ibu bapa saya terbabit dalam bidang akademik, jadi semestinya mereka mahu anak berjaya dalam bidang sama apatah lagi mereka beranggapan kerjaya ini tidak menjanjikan masa depan.

“Saya cuba meyakinkan bapa yang saya akan berjaya dalam bidang ini serta berjanji berusaha bersungguh-sungguh membuktikan saya mampu bergelar usahawan rambut suatu hari nanti. Saya nekad mendalami bidang ini kerana memikirkan boleh pergi lebih jauh,” katanya.

Cabar diri sendiri

Nyata hasratnya bukan sia-sia kerana Bambang semakin mencipta nama dalam bidang yang biasanya dipelopori bukan Bumiputera malah meletakkan diri­nya setanding salun terkenal tempatan dan antarabangsa.

Menyingkap perjalanan kerjayanya dalam dandanan rambut, Bambang berkata, semuanya bermula ketika dia menuntut di universiti berkenaan dan kerana tidak mahu membebankan kewangan keluarga, dia bekerja sambilan di sebuah salun berdekatan universitinya.

“Ketika itu, saya tidak ada tujuan lain kecuali menambah duit poket. Saya masih ingat kerja pertama yang saya kena lakukan adalah menyapu rambut pelanggan yang digunting di lantai serta membancuh kopi,” katanya.

Dari situ minatnya berputik dan dia semakin teruja apabila melihat wajah dan penampilan pelanggan yang berbeza selepas mendapat­kan khidmat dandanan rambut di salun itu.

Sebaik pengajiannya berakhir, dia tidak bekerja dalam bidang pengajian yang diikutinya sebaliknya Bambang melakukan tindakan berani dengan mengikuti kursus dalam dandanan rambut di Akademi Toni and Guy di London.

Dia turut mengikuti kelas profesional di Vienna, Austria selepas itu selama setahun setengah dan bekerja di sana sebelum kembali ke Malaysia pada 2006.

“Mula-mula pulang di Malaysia, saya bermula di rumah saja. Kemudian saya nekad membuka Salun Hairkunst di The Curve. Saya lakukan semua ini untuk mencabar diri sendiri dan meraih kepercayaan keluarga.

“Saya suka membuat sesuatu dengan penuh fokus dan apa juga cara akan saya usahakan untuk mendapat hasil terbaik,” katanya.

Kesungguhannya itu akhirnya membuka mata bapanya dan sehingga kini Hairkunst menjadi perniagaan milik keluarga yang kakaknya Endang Pring­gawaty Soteto, 36, bekerja di situ untuk me­nguruskan akaun serta pentadbiran syarikat manakala seorang adik lelakinya turut menceburi bidang dandanan rambut.

Kini, Bambang maju setapak dengan menghasilkan produk semburan rambut dan pupur rambut formulasinya sendiri yang diberi nama Hairkur. Produknya itu kini semakin mendapat sambutan malah stok produk itu sering kehabisan selepas dipasarkan.

Lebih 10 tahun berada dalam industri dandanan rambut, Bambang bang­kit mengubah industri dandanan rambut tanah air. Bersama beberapa pendandan rambut Bumiputera, Bambang menubuhkan Persatuan Pendandan Rambut Bumiputera (BUHA) Sela­ngor dan Kuala Lumpur.

Melalui BUHA, pendandan rambut profesional dan baru berkongsi pengalaman serta kepakaran demi memastikan industri dapat terus melahirkan pendandan rambut profesional dan berdaya saing.

“Ketika saya membuka salun pada 2006, dianggarkan 99 peratus pasaran salun dimonopoli usahawan Cina. Tetapi, apabila sudah berkecimpung dalam bidang ini, tiada sebab untuk saya tidak mencuba.

“Sebelum ini saya terpilih menjadi seorang daripada dua jurucakap Schwarzkopf di Malaysia untuk berkongsi teknik potongan terbaru jenama produk terkemuka Jerman ini bagi pendandan profesional tempatan dan rantau Asia Tenggara sekali gus menunjukkan anak Melayu juga setanding kaum lain dalam bidang ini,” katanya.

Sementara itu, Bambang berkata, syarikatnya kini membangunkan projek baru dengan menyediakan tempat khas untuk sewaan pendandan rambut bagi membantu mereka menjana pendapatan.

Projek itu juga dapat membantu mereka yang tidak mampu mengeluarkan modal besar untuk membuka salun. Mereka hanya menyewa satu kerusi bagi mendandan rambut pelanggan dengan sewaan serendah RM30 sehari sama ada menggunakan produk daripada syarikatnya atau produk sendiri.

Artikel ini disiarkan pada : Jumaat, 29 April 2016 @ 6:34 AM