URUTAN wajah dilakukan untuk melancarkan peredaran darah.
URUTAN wajah dilakukan untuk melancarkan peredaran darah.
Yusliza Yakimir Abd Talib

WALAUPUN masalah rambut dan kulit kepala tidak menjejaskan keadaan fizikal tubuh ia tetap mencacatkan penampilan, harga diri, keyakinan dan emosi seseorang.

Tidak ramai menyedari penjagaan kulit kepala dan rambut sebenarnya sama penting dengan kulit wajah. Malah ramai menganggap penjagaan rambut cukup sekadar memastikan mahkota itu kelihatan ‘sihat’ pada mata kasar saja.

Faktor seperti tekanan, kekurangan khasiat pemakanan, cuaca dan penggunaan produk penjagaan rambut tidak sesuai menyebabkan lebih banyak masalah rambut.

Malah wanita bertudung juga tidak terlepas berdepan masalah rambut seperti gugur, kelemumur, kulit kepala gatal dan berbau walaupun ia ‘dilindungi’ sepanjang masa.

Mungkin ada yang melakukan perawatan sendiri di rumah dan ramai juga yang tidak melepaskan peluang mencuba produk baharu di pasaran.

CUCI rambut dan bilas.
CUCI rambut dan bilas.

Tidak salah jika sekali-sekala berkunjung ke salun untuk membelai dan memanjakan diri dengan perawatan rambut sesuai. Meskipun bertudung, rambut perlu diberi perhatian seperti menjaga kecantikan wajah.

Menurut Pengasas Salun Rambut Juiczy, Junairah Jailani, ramai wanita sering mengabaikan penjagaan rambut dan memandang ringan masalah yang dihadapi bahkan ada yang menganggap kekurangan rambut boleh ditutup dengan hijab.

Katanya, salun yang berpusat di Taman Sri Muda, Shah Alam itu menyediakan rawatan antaranya mandian krim yang baik bagi menjaga kecantikan dan kesegaran rambut.

Banyak manfaat boleh didapati dengan melakukan mandian krim, antaranya membantu membuatkan rambut lebih terurus dan terhindar daripada kerosakan disebabkan kurangnya nutrisi serta perawatan.

Katanya, mandian krim rambut antara lain dapat memberi kesegaran dan mengekalkan keaslian rambut kerana dalam perawatan ini akan diberikan beberapa nutrisi yang diperlukan rambut.

“Rawatan ini juga dapat mengatasi masalah rambut kering kerana fungsinya yang melembapkan. Urutan dilakukan ketika rawatan juga bermanfaat melancarkan peredaran darah.

“Selain itu dengan melakukan urutan, penyerapan nutrisi ke dalam kulit kepala lebih lancar dan membantu meningkatkan kesihatan kulit,” katanya.

KERINGKAN rambut.
KERINGKAN rambut.

Menurutnya, mandian krim rambut biasanya mengambil masa 70 minit dimulai dengan cucian rambut diikuti sapuan ramuan. Rambut kemudian diwap diikuti urutan bahu, belakang dan lengan selama 45 minit. Seterusnya rambut dibilas, sebelum menyapu tonik rambut pada kulit kepala dan dikeringkan dengan lembut.

Sebelum rawatan dimulakan, Junairah akan meneliti masalah rambut yang dihadapi pelanggan. Dari situlah, dia memilih bahan campuran bersesuaian mengikut masalah masing-masing dan rawatan dibantu dengan khidmat pendandan yang bukan saja mahir, malah berpengalaman.

Katanya masalah yang kerap dihadapi wanita berhijab adalah keguguran rambut. Rambut gugur tanda ada sesuatu yang kurang dalam tubuh dan rawatan ini dapat memenuhi serta membekalkan kekurangan itu sehingga hasilnya dapat dirasai seawal sesi pertama.

Pelanggan akan melihat sendiri keguguran atau kehilangan rambut berkurangan jika perawatan dilakukan secara berkala. Rawatan ini sesuai untuk lelaki dan wanita termasuk selepas bersalin.

“Rawatan ini cukup terkenal di Indonesia dan mempunyai beberapa pilihan bauan menyenangkan serta mempunyai khasiat yang baik untuk rambut.

“Di Malaysia, tidak semua salun ada menyediakan perkhidmatan ini. Rawatan ini baik untuk wanita bertudung kerana ia menjadikan rambut lebih sihat. Malah bau harumnya yang menyenangkan ini kekal selama kira-kira dua minggu,” ujarnya.

Artikel ini disiarkan pada : Selasa, 10 Disember 2019 @ 5:10 AM