Mohamad (tengah) bersama Banati (kanan) melawat kilang Kellogg yang baru dirasmikan di Bandar Enstek.
Mohamad (tengah) bersama Banati (kanan) melawat kilang Kellogg yang baru dirasmikan di Bandar Enstek.

Nilai: Kellogg Company berhasrat menjadi pemain utama dalam bidang pengeluaran dan pemasaran makanan ringan dunia apabila kilang terbarunya di Bandar Enstek, di sini, siap dan mengeluarkan produk terkenalnya, Pringles.

Presiden Asia Pasifiknya, Amit Banati berkata, kilang baru bernilai RM557.7 juta itu dibina di atas kawasan seluas 12.14 hektar, lengkap dengan kemudahan pengeluaran berteknologi tinggi bertaraf dunia.

Katanya, pihaknya mahu menjadikan kilang pertama di Malaysia sebagai pemangkin kepada hab pengeluaran produk berkenaan bagi pasaran rantau Asia Pasifik terutama di Jepun, Hong Kong dan Taiwan.

“Kami menyasarkan 80 peratus daripada pengeluaran produk Pringles dari kilang ini untuk pasaran Asia Pasifik terutama di Jepun dan beberapa negara di Afrika manakala selebihnya untuk pasaran tempatan. Kami mendapat maklum balas baik mengenai pasaran makanan ringan ini di beberapa negara terbabit.

“Kami melihat ia perniagaan teras yang baik dan memberangsangkan serta yakin mampu muncul sebagai pemain utama dalam bidang pengeluaran makanan ringan dunia kerana pasaran makanan segera di Asia Pasifik mencecah sekitar RM168 bilion.

“Kami yakin menerusi pelaburan di kawasan strategik di Bandar Enstek dengan kemudahan dan persekitaran kondusif serta penggunaan teknologi tinggi membolehkan pengeluaran produk Pringles dilakukan dengan lebih cekap, lazat dan halal,” katanya pada majlis perasmian kilang itu, di sini, semalam.

Perasmian disempurnakan Menteri Besar Negeri Sembilan Datuk Seri Mohamad Hasan. Hadir sama, Yang Dipertua Dewan Undangan Negeri Datuk Dr Awaluddin Said, Pengerusi Jawatankuasa Bertindak Pertanian Negeri Datuk Hasim Rusdi, Setiausaha Kerajaan Negeri, Datuk Mat Ali Hassan dan Yang Dipertua Majlis Perbandaran Nilai (MPN) Datuk Abd Halim Abd Latif.

Banati berkata, bagi tujuan operasi kilang, pihaknya mengutamakan penggunaan bahan mentah dan rakan kerjasama tempatan sebagai tanda komitmen jangka panjang di Malaysia dalam mengeluarkan produk berstatus halal.

“Kilang baru ini akan menjadi hab serantau bagi menghasilkan Pringles iaitu makanan halal Kellogg berjenama bagi pasaran Malaysia dan Asia Pasifik.

“Dengan nilai pelaburan RM557 juta, kilang ini mampu mewujudkan 300 peluang pekerjaan baru kepada rakyat tempatan,” katanya.

Mohamad berkata, pembinaan kilang itu memberi impak positif dari segi pertumbuhan ekonomi bukan saja kepada Negeri Sembilan, malah negara.

“Ia mewujudkan peluang pekerjaan dan memberi keuntungan kepada negara dari segi tukaran wang asing,” katanya.

Di Asia Pasifik, Kellogg Company memiliki tujuh kilang pengeluaran iaitu di Jepun, Korea Selatan, India, China, Australia, Afrika Selatan dan Thailand.

Artikel ini disiarkan pada : Rabu, 28 Oktober 2015 @ 6:32 AM