TUANKU Muhriz (tengah) berkenan merasmikan kilang baru Ajinomoto (M) Berhad di Bandar Enstek, Seremban.
TUANKU Muhriz (tengah) berkenan merasmikan kilang baru Ajinomoto (M) Berhad di Bandar Enstek, Seremban.
Oleh Ahmad Hasbi

OPERASI kilang baru Ajinomoto (M) Berhad (AMB) di Bandar Enstek di sini mampu meningkatkan pengeluaran produk makanan syarikat itu sebanyak 20 peratus.

Selepas lima dekad beroperasi di Jalan Kuchai Lama, Kuala Lumpur, pengoperasian kilang lama itu sudah mencapai produktiviti maksimum dan tidak dapat memenuhi permintaan pasaran.

Presiden Ajinomoto Co Inc, Taro Fujie berkata, dengan kapasiti baharu itu AMB mampu mengukuhkan pembangunan dan pengeluaran produk pematuhan halal.

"Ketika ini kami menghasilkan 70 peratus produk untuk pasaran tempatan manakala 30 peratus untuk dieksport, jadi kami mahu mengembangkan lagi perniagaan kami.

"Saya meletakkan harapan yang tinggi terhadap kilang baharu ini," katanya ketika sidang media sejurus Majlis Pembukaan Rasmi Kilang Baru Ajinomoto.

Yang Dipertuan Besar Negeri Sembilan Tuanku Muhriz Almarhum Tuanku Munawir berkenan merasmikan majlis yang turut dihadiri Exco Kerajaan Negeri Sembilan Datuk Ismail Ahmad dan Duta Besar Jepun ke Malaysia, Takahashi Katsuhiko.

Fujie berkata, Ajinomoto mula dianugerahkan pensijilan halal pada 1965 dan pemilihan lokasi di Halal Hab Bandar Enstek sangat sesuai dengan Ajinomoto sebagai pengeluar produk yang patuh halal.

"Kapasiti pengeluaran kami meningkat sebanyak 20 peratus bergantung kepada permintaan. Dengan adanya kilang baharu ini kami merancang untuk mempelbagaikan lagi produk pada masa akan datang," katanya.

Sementara itu, Pengarah Urusan AMB, Tomoharu Abe berkata, kilang baharu itu mengoptimumkan penggunaan teknologi digital bagi meningkatkan kecekapan dan produktiviti.

"Ia direka untuk menyediakan suasana kondusif dan mesra pekerja serta dilengkapi fasiliti rekreasi. Premis ini hanya merangkumi 60 peratus daripada keluasan tanah dan ia mempunyai ruang yang cukup untuk pembangunan akan datang.

"Kos pembinaan kilang baharu termasuk pejabat korporat sebanyak RM355 juta. Ia tidak termasuk nilai tanah," katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Isnin, 12 Disember 2022 @ 7:00 AM