FOTO hiasan.
FOTO hiasan.
Oleh Hayati Ibrahim

Cyberjaya: Walaupun tidak mendapat Bantuan Rakyat 1Malaysia (BR1M), namun golongan berpendapatan sederhana (M40) akan menikmati penjimatan cukai pendapatan antara RM400 hingga RM600 setahun melalui tambahan pelepasan cukai yang diumumkan dalam Bajet 2016, Jumaat lalu.

Timbalan Menteri Kewangan Datuk Johari Abdul Ghani berkata, penjimatan yang diperolehi, itu bergantung pelepasan yang diperoleh golongan isi rumah berpendapatan antara RM3,860 hingga RM8,320 berkenaan.

“Peningkatan pelepasan ini menyebabkan mereka yang tidak mendapat BR1M secara terus, boleh mendapat penjimatan dari segi pembayaran cukai antara RM400 hingga RM600 setahun antaranya menerusi kenaikan pelepasan cukai terhadap anak, penjagaan dan perubatan ibu bapa serta yuran pengajian.

“Jadi, ini akan menambah jumlah pendapatan boleh guna dan membantu mereka menikmati kualiti hidup lebih baik,” katanya pada sidang media selepas merasmikan taklimat Bajet 2016 di Menara Lembaga Hasil Dalam Negeri (LHDN) di sini, semalam.

Turut hadir, Ketua Pegawai Eksekutif LHDN Tan Sri Dr Mohd Shukor Mahfar.

Johari berkata, langkah itu adalah pilihan terbaik yang diambil kerajaan untuk menguruskan kewangan negara, memandangkan pendapatan negara merosot sejak kejatuhan harga minyak di pasaran dunia.

“Jika dilihat semula, jumlah keseluruhan daripada industri petroleum negara daripada kutipan cukai, royalti dan dividen pada 2014 adalah RM65 bilion, tetapi tahun ini jatuh kepada RM45 bilion dan jumlah itu dijangka terus merosot kepada RM30 bilion pada 2016.

“Secara efektifnya, pendapatan negara merosot sehingga RM20 bilion setahun dan jumlah ini amat besar bagi sebuah negara, jadi bayangkan bagaimana kerajaan boleh menguruskan bajet dengan pendapatan itu,” katanya.

Namun, beliau berkata, kesan itu dapat dikurangkan berikutan langkah kerajaan melaksanakan rasionalisasi subsidi serta melaksanakan sistem percukaian baru daripada cukai jualan dan perkhidmatan (SST) kepada Cukai Barang dan Perkhidmatan (GST).

Dalam pada itu, Johari berkata, pihaknya sedang mempertimbangkan usaha untuk membangunkan semula flat lama untuk menyeimbangkan permintaan perumahan dalam bandar terutama untuk golongan berpendapatan rendah.

“Kita akan tengok mana-mana flat lama untuk dibangunkan semula, di sini letaknya peranan agensi perumahan yang ditugaskan kerajaan untuk menumpukan dari segi pembangunan semula flat ini terutama Dewan Bandaraya Kuala Lumpur (DBKL) yang mempunyai banyak flat dan perumahan lama.

“Kita tak payah beri kepada swasta untuk dikomersialkan, tetapi kita bina semula perumahan ini serta melihat tanah yang strategik untuk membina rumah kos rendah dan sederhana,” katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Selasa, 27 Oktober 2015 @ 6:38 AM