Kuala Lumpur: Cadangan kerajaan untuk meningkatkan cukai golongan berpendapatan tinggi dalam Bajet 2016 disifatkan sebagai satu tindakan berani.

Rakan Kongsi dan Ketua Pencukaian Ernst & Young Malaysia, Yeo Eng Ping berkata, ini berikutan cadangan itu dibuat selepas kerajaan mengurangkan cukai pendapatan dalam Bajet 2015 serta pelaksanaan Cukai Barang dan Perkhidmatan (GST).

“Ini bukanlah sesuatu yang mengejutkan kerana kumpulan berpendapatan tinggi ini sudah lama digesa untuk membayar cukai lebih tinggi. Malah, kami turut melihat perkembangan sama di negara lain seperti Singapura dan Jepun,” katanya dalam kenyataan, di sini.

Dalam pembentangan Bajet 2016, Perdana Menteri Datuk Seri Najib Razak mengumumkan cadangan lingkungan bercukai bagi kadar cukai tertinggi ditingkatkan sebanyak satu peratus kepada 26 peratus bagi mereka yang berpendapatan antara RM600,000 dan RM1 juta.

Mereka yang berpendapatan melebihi RM1 juta pula dicadangkan berdepan kenaikan kadar cukai sebanyak tiga peratus iaitu sebanyak 28 peratus, bermula tahun depan.

Mengulas lanjut, Yeo berkata, Bajet 2016 itu turut menjaga kepentingan kumpulan berpendapatan sederhana dan rendah menerusi cadangan inisiatif seperti meningkatkan pelbagai pengecualian, penambahan senarai barangan sifar GST yang merangkumi makanan perlu, ubat yang dikawal serta langkah berkaitan kesejahteraan kumpulan isi rumah B40.

Bagaimanapun, bagi sektor korporat, Bajet 2016 itu tidak membabitkan banyak insentif. Sebaliknya, hanya beberapa pendekatan dalam bidang atau sektor khusus seperti inovasi dan pengkomersialan penyelidikan serta pembangunan (bagi merangsang pelaburan dan pelaburan semula bagi sektor swasta), pelancongan, pengeluaran makanan dan pembuatan.

Beliau berkata, bajet kali ini turut mengutamakan beberapa langkah konsisten bagi memastikan pembangunan infrastruktur negara serta menggalakkan kesalinghubungan bagi menyokong pertumbuhan ekonomi. - BERNAMA

Artikel ini disiarkan pada : Isnin, 26 Oktober 2015 @ 6:30 AM