PERUMAHAN PR1MA yang dibangunkan di Pahang.
PERUMAHAN PR1MA yang dibangunkan di Pahang.

Kuala Lumpur: Bagi menangani isu pemilikan rumah mampu milik, pelbagai program dan projek dilaksanakan. Ini termasuk Program Perumahan Rakyat 1Malaysia di bawah PR1MA yang menyasarkan untuk membina 210,000 rumah menjelang 2018 dengan harga antara RM100,000 dan RM400,000.

Bagi membolehkan lebih ramai rakyat mendapat manfaat, had pendapatan isi rumah dilonggarkan daripada RM8,000 kepada RM10,000.

Sehingga Ogos 2015, 560 unit rumah disiapkan, manakala 41,263 unit dalam pembinaan dan 120,751 unit pada peringkat perancangan dan RM1.2 bilion dibelanjakan untuk program ini.

Bagi menampung keperluan perumahan, kumpulan berpendapatan rendah dan penempatan semula setinggan, kerajaan melalui Program Perumahan Rakyat (PPR) menyediakan pilihan kepada rakyat untuk membeli atau menyewa rumah PPR.

Setakat Ogos 2015, RM209.6 juta dibelanjakan untuk membina 15,996 rumah, di mana 4,266 unit untuk disewa dan 11,730 unit rumah dijual.

Kerajaan juga melaksanakan Rumah Mesra Rakyat 1Malaysia bagi membantu kumpulan berpendapatan rendah seperti nelayan, petani dan keluarga miskin yang tidak memiliki rumah atau tinggal di rumah usang atau memiliki tanah tanpa sumber kewangan mencukupi.

Sejumlah 2,183 rumah dalam pembinaan dengan kos RM142.2 juta setakat Ogos 2015, manakala menerusi program Rumah Idaman Rakyat, 6,296 rumah dibina di seluruh negara dengan 60 peratus dijual pada harga di bawah RM250,000 dan 40 peratus antara RM250,000 dan RM350,000.

Projek ini menyasarkan kumpulan berpendapatan sederhana dan pembeli kali pertama.

Artikel ini disiarkan pada : Sabtu, 24 Oktober 2015 @ 5:05 AM