AKSI pemain negara pada perlawanan pertama Kumpulan B menentang Jepun.
AKSI pemain negara pada perlawanan pertama Kumpulan B menentang Jepun.

Ketiadaan apit kanan Mohd Hanafiah Dolah yang cedera lutut kanan memberi kesan terhadap regu negara meskipun memulakan kempen mereka pada Kejohanan Siri Super Akhir ISTAF 2014-15 dengan langkah kanan apabila menewaskan Jepun 21-18, 21-14 di Gimnasium Perbandaran Nakhon Phatom, semalam.

Malaysia yang menurunkan Mohd Khairul Zaman Hamir Akbar bagi menggantikan tempat Hanafiah, selain Mohammad Syahir Mohd Rosdi (tekong) dan Farhan Adam (apit kiri) terpaksa bekerja keras untuk menyekat Jepun sedang pada masa sama perlu cepat menyesuaikan diri dengan keadaan gelanggang.

Kekurangan itu segera dihidu ketua jurulatih, Abdul Talib Ahmad yang mengakui anak buahnya ‘kurang bising’ ketika beraksi, berbanding ketika Hanafiah berada dalam pasukan.

“Dari segi persefahaman masih ada yang kurang, saya harap akan lebih mantap selepas ini.

“Pemain tidak mempamerkan karakter, mereka tidak banyak bercakap. Biasanya suara Hanafiah akan membuat mereka lebih berwaspada,” katanya.

Jepun yang menurunkan Sho Hasegawa (tekong), Ikki Mito (apit kiri) dan Toshitaka Naito (pengumpan) pula sesekali bijak mencuri mata untuk cuba merapatkan kedudukan.

Begitupun Abd Talib yakin margin kemenangan yang begitu hampir tidak menunjukkan tahap sebenar mereka sebaliknya mahu memberi ruang kepada pemainnya menguji gelanggang.

“Set pertama kami menang 21-18, sepatutnya keputusan lebih baik. Pemain belum dapat menyesuaikan diri tapi pada set kedua, semuanya dapat ditangani.

“Kami masukkan Ahmad Aizat Azmi menggantikan Syahir bagi membolehkannya menguasai gelanggang. Saya sentiasa nasihatkan pemain supaya jangan takut dan fokus terhadap perlawanan.

“Kami akan berdepan Singapura dan Korea Selatan esok (hari ini), mahu tidak mahu mesti cari jalan untuk muncul juara kumpulan.”

Jepun bagaimanapun berjaya melakar kejutan apabila menewaskan Singapura 21-11, 24-22 pada perlawanan kedua mereka.

Artikel ini disiarkan pada : Rabu, 21 Oktober 2015 @ 8:16 AM