PEMENANG Kempen Kitar Semula anjuran F&N Beverages Marketing Sdn Bhd meraikan kejayaan masing-masing.
PEMENANG Kempen Kitar Semula anjuran F&N Beverages Marketing Sdn Bhd meraikan kejayaan masing-masing.
Siti Zarinah Sahib


Dalam usaha mengukuh dan membudayakan amalan kitar semula penekanan serta pendidikan perlu diterapkan kepada pelajar sekolah sejak awal bagi memastikan ia dapat diteruskan pada masa depan.

Amalan berterusan ini membolehkan SJK (C) Eng Chuan menjuarai Kempen Kitar Semula 2016 anjuran Fraser & Neave Holdings Bhd (F&N) dan Majlis Bandaraya Pulau Pinang (MBPP) dengan mencatat kutipan bahan kitar semula paling tinggi, sekali gus menewaskan 89 sekolah lain.

Menurut guru Kelab Pencinta Alam Loo Bee Leng, kitar semula adalah satu aktiviti utama di sekolah. Pelajar mengambil inisiatif setiap hari membersih, mengumpul dan memasukkan bahan kitar semula dalam tong disediakan.

“Kami juga mengatur banyak aktiviti untuk mengajar kanak-kanak cara mengguna semula bahan kitar semula seperti menganjurkan peraduan kitar semula bulanan, menanam pokok dalam botol dan tayar lama, menggunakan sisa makanan sebagai baja dan membuat robot daripada bahan buangan yang boleh dikitar semula,” katanya.

Pengurus Hal Ehwal Korporat, F&N, Cariessa Goh berkata, amalan kitar semula perlu ditekankan secara berterusan dalam kalangan dewasa kerana ramai yang terlalu sibuk untuk menjadikannya satu keutamaan.

“Pejuang kemanusiaan India, Sadhguru Jaggi Vasudev pernah berkata penjagaan alam sekitar bukan hanya satu tanggungjawab, alam sekitar itu nadi hidup kita. Sungguhpun amalan kitar semula diterapkan dalam masyarakat kita hari ini, ramai antara kita, terutama golongan dewasa, gagal mengamalkannya setiap hari,” katanya.

SJK (C) Eng Chuan adalah satu daripada 30 sekolah cemerlang yang mendapat pengiktirafan Kempen Kitar Semula F&N & MBPP 2016 kerana inisiatif penghijauan mereka. Pertandingan ini berusaha menggalakkan pemuliharaan alam sekitar dalam kalangan pelajar dan menyemai budaya kitar semula dengan menggunakan falsafah 5R iaitu Reduce (Kurangkan), Reuse (Guna Semula), Recycle (Kitar Semula), Rethink (Fikir Semula) dan Reinvent (Cipta Semula).

Kempen Kitar Semula F&N & MBPP 2016 yang memasuki tahun kelima, mencatatkan kejayaan paling besar kali ini dengan menarik penyertaan 90 sekolah dan mengumpul bahan kitar semula berjumlah 127,193.7 kilogram (kg).

Kempen selama empat bulan dan berakhir Ogos lalu memerlukan sekolah yang mengambil bahagian mengumpul seberapa banyak barangan seperti tin aluminium, botol plastik, bahan buangan elektronik dan Tetra Pak. Empat anugerah khas ditawarkan iaitu sekolah dengan bahan aluminium, plastik, bahan buangan elektronik dan Tetra Pak yang tertinggi.

Dianjurkan dengan kerjasama Jabatan Pendidikan Pulau Pinang dan Tetra Pak (Malaysia) Sdn Bhd, kempen di peringkat sekolah ini disertai 18 prasekolah, 41 sekolah rendah dan 31 sekolah menengah.

Hadiah wang tunai bernilai RM23,260 disampaikan kepada pemenang dengan kutipan bahan kitar semula tertinggi yang dikumpulkan bagi setiap orang di setiap sekolah. SK Hutchings menang dalam kategori prasekolah, dengan mengumpulkan 54kg bahan kitar semula untuk setiap pelajar.

Juara tahun lalu, SK Batu Feringgi mendapat tempat kedua manakala SK Sungai Rusa berada di tempat ketiga. Bagi kategori sekolah rendah, SJK (C) Eng Chuan merangkul gelaran juara, SJK (C) Sum Min di tempat kedua dan SJK (C) Yu Chye mendapat tempat ketiga.

Bagi kategori sekolah menengah, SMK Padang Polo meraih gelaran juara buat tahun ketiga berturut-turut manakala SMK Jelutong dan SMJK Sacred Heart masing-masing mendapat tempat kedua dan ketiga.

Menurut Penolong Kanan Pegawai Kesihatan Alam Sekitar MBPP Foo Kok Beng, kempen ini berkembang sepanjang lima tahun lalu.

Pertandingan ini diadakan serentak dengan Kempen Kitar Semula F&N & MBSA di Shah Alam, Selangor yang memasuki tahun ke-10 dan berakhir lewat bulan ini.

Setiausaha Majlis Bandaraya Pulau Pinang (MBPP) Datuk Ir Ang Aing Thye, hadir di majlis penutup dan menyampaikan hadiah bersama Cariessa Goh dan Pengurus Akaun Pelanggan Tetra Pak (Malaysia) Sdn Bhd Sudarat Prachaseree, kepada wakil daripada sekolah yang menang.

Artikel ini disiarkan pada : Selasa, 18 Oktober 2016 @ 5:00 AM