SEMUA pemenang bergambar kenangan.
SEMUA pemenang bergambar kenangan.

Sejumlah 88,456 kilogram bahan kitar semula dikutip sepanjang Kempen Kitar Semula F&N membabitkan warga sekolah anjuran F&N Beverages Marketing Sdn Bhd bersama Majlis Perbandaran Pulau Pinang (MPPP), baru-baru ini.

Dengan sokongan Jabatan Pelajaran Negeri Pulau Pinang (JPNPP) dan buat pertama kalinya Tetra Pak (Malaysia) Sdn Bhd, kempen itu menarik penyer­taan menggalakkan de­ngan 31 sekolah menengah, 46 (rendah) dan 17 tadika.

Kempen selama tiga bulan itu menetapkan sekolah yang mengambil bahagian perlu mengutip bahan kitar semula seperti tin alumi­nium, botol plastik, kertas, bahan buangan elektronik dan juga kotak Tetra Pak.

Tiga Anugerah Khas diberi kepada sekolah yang mencatat kutipan aluminium, plastik dan bahan buangan elektronik ter­tinggi.

Pengurus Hal Ehwal Korporat F&N Beverages Marketing Sdn Bhd, Cariessa Goh berkata, pelajar boleh menjadi daya penggerak 4R iaitu reduce (kurangkan), reuse (guna semula), recycle (kitar semula) dan rethink (fikir semula).

"Adakalanya individu paling berpengaruh bagi kanak-kanak bukan orang dewasa, tapi rakan sebaya mereka.

"Golongan ini menjadi inspirasi kepada yang lain dengan menggalakkan lebih banyak sekolah menyertai kempen dan menghidupkan budaya kitar semula dalam dan luar persekitaran sekolah.

"Usaha mereka berjaya menyentuh kehidupan orang lain dan memberi inspirasi kepada orang ramai untuk menghijaukan Malaysia," kata pada majlis penyampaian hadiah," katanya.

Juara kategori prasekolah ialah pelajar SK Jalan ­Hamilton yang mengutip bahan kitar semula 46.2kg setiap pelajar.

Tempat kedua dan ketiga ialah Hu Yew Seah Kindergarten dan Pra Sekolah SK Perempuan Island.

SK Perempuan Island mendahului kategori sekolah rendah dengan me­ngutip 39.8kg setiap pelajar, tempat kedua SJK (C) Hu Yew Seah dan tempat ketiga SJK (C) Eng Chuan.

SMK Padang Polo mendapat tempat pertama dalam kategori sekolah menengah diikuti SMK Pendidikan Khas Persekutuan (P) dan SMK Tanjong Bunga.

Kempen tahun ini memperkenalkan satu ka­tegori baru khususnya bagi pelajar prasekolah di seluruh negeri Pulau Pinang sebagai usaha mendedahkan pelajar berumur empat tahun kepada sikap kitar semula.

Artikel ini disiarkan pada : Ahad, 12 Oktober 2014 @ 1:59 AM