London: Pemain sayap Afrika Selatan, JP Pietersen akan kembali daripada kecederaan bagi membentuk gandingan mantap bersama Bryan Habana di bahagian serangan menentang Wales pada suku akhir Ragbi Piala Dunia di Twickenham, malam esok.

Pietersen yang terlepas aksi ketika membelasah Amerika Syarikat 64-0 pada perlawanan terakhir Springboks seminggu lalu, sudah pulih daripada kecederaan lutut dan akan meneruskan khidmat di sayap kanan.

Habana, yang beralih ke sayap kiri, mengintai peluang mengatasi rekod jumlah try Jonah Lomu pada Piala Dunia iaitu 15, selepas menyamai catatan pemain New Zealand itu dengan hatrik menentang AS.

“JP dan Bryan bertindak cemerlang ketika ini dan mempamerkan antara aksi terbaik karier mereka,” kata jurulatih Heyneke Meyer.

“Kami jangkakan saingan sengit hingga ke wisel penamat. Kami berdepan pasukan seimbang yang sering cuba mempelbagaikan rentak.”

Meyer turut menyimpan beberapa muka lama di bangku simpanan, yakin perlawanan itu akan ditentukan dalam 20 minit terakhir apabila pengalaman banyak membantu.

New Zealand akan berdepan Perancis di Cardiff pada satu lagi suku akhir awal pagi Ahad ini dan Les Bleus perlu bangkit jika mahu memburu kemenangan ke atas pasukan pilihan kejohanan itu.

Didier Retiere, anggota pasukan kejurulatihan yang membantu Perancis layak ke final 2011 dan kini pengarah teknikal di Persekutuan Ragbi Perancis berkata, mereka memerlukan pendekatan sama yang membantu mereka mengatasi kehambaran pada peringkat kumpulan empat tahun lalu sebelum menemui sinar baru pada peringkat kalah mati. - Reuters

Artikel ini disiarkan pada : Jumaat, 16 Oktober 2015 @ 7:23 AM