FOTO Muhaizan Yahya
FOTO Muhaizan Yahya
Oleh Muhammad Apendy Issahak

Ipoh: Empat pegawai kanan Tentera Laut Diraja Malaysia (TLDM) yang sebelum ini berdepan tuduhan rasuah, didakwa pula di Mahkamah Sesyen, di sini, hari ini, dengan pertuduhan tambahan membabitkan kesalahan pengubahan wang haram berjumlah lebih RM2 juta.

Leftenan Komander Rizalman Ghazali, 36, Leftenan Rozlin Mustafa, 33, Leftenan Komander Khairul Izwan Mohd Khir, 37, dan Leftenan Kuvendran Sukumaran, 31, didakwa dengan 16 pertuduhan membabitkan pengubahan wang haram berjumlah RM2,171,822.87 juta, pada Januari 2014 hingga Mac 2015.

Bagaimanapun, tertuduh mengaku tidak bersalah terhadap semua pertuduhan dan minta dibicarakan.

Rizalman dan Rozlin masing-masing didakwa dengan tiga pertuduhan, manakala Khairul Izwan dan Kuvendran masing-masing lima pertuduhan.

Kesemua mereka didakwa mengikut Seksyen 4(1)(a) Akta Pencegahan Pengubahan Wang Haram, Pencegahan Pembiayaan Keganasan dan Hasil Daripada Aktiviti Haram 2001 dan Seksyen 4(1)(b) Akta Pencegahan Wang Haram dan Pencegahan Pembiayaan Keganasan 2001.

Mengikut Seksyen Seksyen 4(1)(a) tertuduh boleh dipenjara tidak lebih lima tahun atau denda tidak lebih RM5 juta atau kedua-duanya sekali jika sabit kesalahan.

Seksyen 4(1)(b) pula memperuntukkan hukuman penjara maksimum 15 tahun dan denda tidak kurang daripada lima kali ganda atau nilai hasil daripada aktiviti haram atau RM5 juta, yang mana lebih tinggi.

Pendakwaan dijalankan oleh Timbalan Pendakwa Raya SPRM, A Hafiizh Abu Bakar dihadapan Hakim Rushan Lutfi Mohamed, manakala semua tertuduh diwakili peguam Norhasham Hasan dan Shahril Adli Zain.

Hakim kemudian membenarkan keempat-empat tertuduh diikat jamin RM251,000 bagi keseluruhan 16 pertuduhan dengan seorang penjamin serta kes akan disebut semula pada 3 Disember ini.

Pada 8 Oktober lalu, Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) mendakwa kesemua tertuduh atas tuduhan rasuah mengikut Akta SPRM 2009 serta Kanun Keseksaan dan mereka semua turut mengaku tidak bersalah.

Artikel ini disiarkan pada : Jumaat, 30 Oktober 2015 @ 12:59 PM