RIBUAN jongkong emas yang ditemui di rumah Zhang. FOTO Agensi
RIBUAN jongkong emas yang ditemui di rumah Zhang. FOTO Agensi
Agensi

BEIJING: Ribuan jongkong emas bernilai RM2.7 bilion ditemui di rumah seorang pegawai kanan Parti Komunis China di Haikou, wilayah Hainan dan siasatan mendapati bekas datuk bandar itu mempunyai RM154 bilion dalam akaun banknya, dipercayai hasil rasuah.

Satu rakaman video yang tular di Twitter menunjukkan pegawai penyiasat dengan teliti mengira jongkong emas yang ditemui disusun di atas rak besi dalam sebuah bilik rumah mewah lelaki berkenaan, dikenali sebagai Zhang Qi (gambar), 58.

Pihak berkuasa China dipercayai menyerbu rumah berkenaan bulan lalu.

Daily Mail melaporkan, China sudah menyekat berita mengenai penemuan emas berkenaan.

Pada 6 September lalu, badan pemantau rasuah China menyatakan Zhang disyaki melanggar undang-undang dan disiplin.

Zhang, Setiausaha Jawatankuasa Parti Komunis di Haikou yang mempunyai kuasa setaraf datuk bandar, sudah dipecat dan kini disiasat pihak berkuasa berkaitan pembabitannya dalam kes rasuah.

Menurut laporan media, penyiasat kes berkenaan turut menemui RM154 bilion dalam akaun banknya selain memiliki pelbagai hartanah mewah.

Forbes melaporkan, Zhang mungkin lebih kaya daripada Jack Ma yang mempunyai nilai kekayaan RM154 bilion sekiranya laporan mengenai penemuan emas dan akaun bank berkenaan benar.

Sebelum memegang kuasa di Haikou, Zhang pernah berkhidmat sebagai Timbalan Datuk Bandar Sanya dan Datuk Bandar Danzhou, kedua-duanya di wilayah sama.

Presiden Xi Jinping melancarkan kempen anti-rasuah sejak mengambil alih pentadbiran pada 2012 dan berdasarkan statistik, sekurang-kurangnya 53 pegawai kerajaan ditangkap menerima rasuah berjumlah lebih RM56.6 juta.

Artikel ini disiarkan pada : Jumaat, 4 Oktober 2019 @ 7:29 AM