TAUFAN Florence dilihat melintasi Lautan Atlantic menuju ke Pantai Timur AS. -Foto  Reuters
TAUFAN Florence dilihat melintasi Lautan Atlantic menuju ke Pantai Timur AS. -Foto Reuters
AFP

MIAMI: Florence diramal menjadi ‘taufan besar’ menjelang lewat petang ini apabila ia menuju ke Pantai Timur Amerika Syarikat, kata Pusat Taufan Kebangsaan (NHC), ketika darurat diisytiharkan sebagai persiapan menghadapi ribut itu.

Pusat Florence terletak kira-kira 1,100 kilometer ke tenggara Bermuda, menurut kenyataan agensi itu dalam amaran yang dikeluarkan pada jam 11.00 malam semalam waktu tempatan.

Ia membawa kekuatan angin maksimum 144 kilometer sejam, menjadikan Florence sebagai ribut Kategori Satu daripada lima tahap skala taufan Saffir-Simpson.

NHC memberi amaran Florence diramal mengumpul kekuatan mendadak menjadi taufan besar menjelang malam ini, dijangka kekal menjadi taufan besar amat bahaya sehingga Khamis.

Ia bergerak ke barat pada kelajuan 11 kilometer sejam, dan diramal membanjiri sebahagian besar Pantai Timur AS dari utara Florida ke New Jersey.

Dalam laluan terkini, Florence dijangka membadai teruk Carolina Utara, Carolina Selatan dan Virginia, dan semua tiga negeri itu mengeluarkan perintah darurat supaya mempercepatkan persediaan.

Pejabat Gabenor Virginia, Ralph Northam, menggambarkan Florence sebagai kemungkinan ‘taufan paling kuat dalam beberapa dekad’ di negeri itu, memberi amaran banjir teruk, angin kencang dan kemungkinan gangguan bekalan elektrik.

Ia menambah: “Ancaman terbesar kepada nyawa bukan angin kencang sebaliknya banjir buruk’.

Tentera laut mengarahkan kapalnya di pangkalan Hampton Roads, Virginia, supaya diletakkan di tengah laut, berkata ‘ramalan angin kencang dan ombak besar terlalu bahaya untuk membiarkan kapal di pelabuhan’.

Artikel ini disiarkan pada : Isnin, 10 September 2018 @ 2:17 PM