Jalalabad, Afghanistan: Sebuah pesawat pengangkut C-130 milik tentera udara Amerika Syarikat terhempas di timur Afghanistan menyebabkan 11 terbunuh termasuk enam tentera NATO hari ini.

NATO sedang berusaha memastikan punca pesawat itu terhempas dekat Jalalabad sama ada akibat cuaca, masalah teknikal atau ditembak musuh.

Kolonel Brian Tribus dari Tentera Darat Amerika berkata, enam tentera Amerika dan lima kontraktor awam terbunuh dalam nahas itu.

Menurutnya, kontraktor terbabit menyediakan keperluan sokongan kepada misi latihan diketuai NATO.

Jurucakap Taliban, Zabihullah Mujahid melalui Twitter mendakwa pihaknya menembak jatuh pesawat itu.

Namun Mejar Tony Wickman dari Tentera Amerika menegaskan pihaknya yakin pesawat itu terhempas bukan disebabkan tembakan musuh. - AFP

Artikel ini disiarkan pada : Jumaat, 2 Oktober 2015 @ 4:31 PM