POLIS membuat pemeriksaan selepas bom kedua meletup di lokasi sama.
POLIS membuat pemeriksaan selepas bom kedua meletup di lokasi sama.

Jalalabad (Afghanistan): Serangan berani mati di luar bank di Jalalabad semalam mengakibatkan 33 maut dan lebih 100 cedera ketika kakitangan awam datang mengambil gaji masing-masing.

Ketua Polis Fazel Ahmad Sherzad berkata, pihaknya turut menyiasat sama ada bom kedua diletupkan sejurus selepas itu ketika orang ramai bergegas membantu mangsa.

“Memang ia serangan berani mati, namun kami masih menyiasat sama ada pelakunya memakai bahan letupan atau meletakkannya dalam kereta dipandu,” katanya.

Taliban menafikan bertanggungjawab, namun taktik serangan seperti itu kerap digunakan kumpulan berkenaan.

Jurucakapnya Zabihulah Mujahid berkata: “Serangan itu kejam dan jahat. Kami mengutuk perbuatan itu sekeras-kerasnya.”

Tentera Afghanistan kini memerangi Taliban tanpa sokongan kuat tentera NATO buat kali pertama sejak pergerakan Islamis itu digulingkan pada 2001.

NATO yang pernah menugaskan 130,000 tentera di negara itu kini meninggalkan beberapa ribu askar yang lebih banyak memainkan peranan dari segi latihan dan operasi.

Sementara itu, polis berkata letupan ketiga yang turut menggemparkan Jalalabad sebenarnya letupan secara terkawal selepas pakar menemui bom berhampiran lokasi letupan pertama. - Reuters

Artikel ini disiarkan pada : Ahad, 19 April 2015 @ 5:17 AM