Ahmad Husni (tengah) pada majlis pelancaran YHS, semalam.
Ahmad Husni (tengah) pada majlis pelancaran YHS, semalam.

Kuala Lumpur: Bank Simpanan Nasional (BSN) melancarkan Skim Perumahan Belia (YHS) dengan kerjasama Cagamas Bhd dan Kumpulan Wang Simpanan Pekerja (KWSP) bagi membantu pasangan berkahwin berusia 25 hingga 40 tahun memiliki rumah pertama dengan pendapatan isi rumah bulanan tidak melebihi RM10,000.

YHS diumumkan kerajaan dalam pembentangan Belanjawan 2015 bagi membantu pasangan berkahwin memiliki rumah pertama dengan gabungan pendapatan isi rumah tidak lebih RM10,000.

Pengerusi BSN Tan Sri Abu Bakar Abdullah berkata, BSN menyediakan pinjaman antara RM100,000 hingga RM500,000 dengan tempoh sehingga 35 tahun atau berusia 65 tahun tertakluk pada mana-mana syarat didahulukan.

“Kedua-dua pinjaman perumahan konvensional dan Islam adalah layak dengan margin pembiayaan sehingga 100 peratus daripada harga pembelian.

“Permohonan yang berjaya menerima pembiayaan tambahan sehingga lima peratus daripada harga pembelian untuk kos Insurans Bertempoh Gadai Janji Berkurangan (MRTA) atau Takaful Gadai Janji Berkurangan (MRTT),” katanya.

BSN menerima 450 permohonan YHS sejak diperkenalkan Julai lalu dan daripada jumlah itu, 225 permohonan diluluskan dengan nilai pembiayaan RM57.5 juta.

“Kita menyedari golongan muda dihimpit pelbagai masalah bagi mengatur kehidupan mereka dan antaranya kesukaran memiliki rumah sendiri berbanding dulu.

“Harga rumah kini begitu tinggi dan mengatasi jumlah pendapatan anak muda. YHS menyediakan peluang dan kebolehupayaan dalam pemilikan rumah sendiri kepada generasi muda,” katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Jumaat, 2 Oktober 2015 @ 6:32 AM