Mahmud (kanan) dan Jessie selepas menandatangani MoC antara PKNS dan Affin Bank.
Mahmud (kanan) dan Jessie selepas menandatangani MoC antara PKNS dan Affin Bank.
Bisnes HM


Kuala Lumpur: Perbadanan Kemajuan Negeri Selangor (PKNS), terus menyokong pertumbuhan sosioekonomi negeri dengan menawarkan penyelesaian pembiayaan pada kadar menarik bagi pembeli rumah menerusi kerjasama dengan Affin Bank dalam program Home Step Fast/i.

Kerjasama itu akan membolehkan pembeli membayar ansuran lebih rendah untuk tempoh lima tahun pertama pemilikan dalam usaha meningkatkan tahap pemilikan rumah di Selangor.

Memorandum Kerjasama (MoC) antara kedua-dua pihak meliputi semua pembangunan kediaman PKNS yang dalam pembinaan dan sudah siap.

Dalam usaha menggiatkan lagi tahap pemilikan rumah di Selangor, kerjasama Affin Bank dalam program Home Step Fast/i menawarkan pembiayaan 90 peratus dengan tambahan lima peratus diperuntukkan untuk Insurans Bertempoh Gadai Janji Berkurangan (MRTA) atau Takaful Bertempoh Gadai Janji Berkurangan (MRTT), yuran guaman dan dokumentasi, duti setem dan penilaian hartanah serta pilihan untuk membiayai sistem solar rumah.

Pinjaman ditawarkan Affin Bank sehingga 30 tahun atau sehingga pelanggan mencapai usia 70 tahun.

Kerjasama antara PKNS dan Affin Bank turut memberi sokongan kepada program 'Rumah Selangorku'.

MoC itu ditandatangani Ketua Pegawai Eksekutif (CEO) PKNS, Datuk Mahmud Abbas dan Pengarah Urusan Bahagian Gadai Janji Affin Bank, Jessie Wong Yen Yee.

Ia disaksikan Pengarah Perikatan Strategik dan Pembiayaan Akhir, Bahagian Gadai Janji Affin Bank, Kelvin Chin Kok Wai.

Mengulas kerjasama itu, Mahmud berkata, di samping kualiti, reka bentuk dan lokasi mudah ditujui, satu faktor penting dalam proses membuat keputusan pemilik rumah ialah ketermampuan.

"Memandangkan PKNS meramalkan proses pemulihan beransur-ansur dalam pertumbuhan perniagaan, kerjasama dengan Affin Bank dalam program Home Step Fast/i ini bertujuan mengukuhkan portfolio PKNS atas dasar dapat mengurangkan perbelanjaan awal pembeli," katanya dalam satu kenyataan.

Yen Yee, pula berkata Affin Bank memahami keadaan yang dihadapi agak mencabar, terutamanya bagi pembeli rumah pertama kali.

"Membuat pilihan daripada pelbagai pembangunan yang ada sudah sukar, ditambah pula dengan keperluan menentukan pembiayaan rumah paling sesuai dengan pilihan luas yang ditawarkan di pasaran," katanya.

Usaha menjadikan pemilikan rumah dalam persekitaran yang serba lengkap lebih mudah memberikan ketenangan fikiran dan seterusnya menyumbang kepada pembangunan sosioekonomi negeri.

Kerjasama antara PKNS dan Affin Bank bertujuan mengatasi isu ketermampuan rumah yang dihadapi oleh pembeli rumah sedia ada dan bakal pembeli.

Ia tepat pada masanya memandangkan projek terbaru PKNS, Residensi Advena Seksyen 16 Shah Alam yang ditawarkan pada harga kira-kira RM400,000 bakal dilancarkan bulan depan.

Artikel ini disiarkan pada : Rabu, 24 Ogos 2022 @ 4:30 PM