MAHMUD (kiri) dan Jay Khairil menandatangani dokumen di Ibu Pejabat PKNS, Shah Alam.
MAHMUD (kiri) dan Jay Khairil menandatangani dokumen di Ibu Pejabat PKNS, Shah Alam.
Oleh Sri Ayu Kartika Amri


Shah Alam: Perbadanan Kemajuan Negeri Selangor (PKNS) menandatangani Memorandum Persefahaman (MoU) dengan Bank Simpanan Nasional (BSN) sekali gus menyasarkan lebih RM100 juta nilai pembiayaan bakal dimanfaatkan pembeli rumah di bawah projeknya untuk tempoh satu tahun pertama.

Ketua Pegawai Eksekutif PKNS, Datuk Mahmud Abbas berkata, MoU itu adalah usaha bagi menarik bakal pembeli untuk memiliki rumah idaman mereka di mana BSN akan menawarkan pelbagai pakej pembiayaan rumah yang bersesuaian mengikut keperluan dan kelayakan pelanggan.

Katanya, lebih menarik, pelanggan PKNS berpeluang memenangi hadiah kelengkapan rumah berharga sehingga RM50,000 yang ditawarkan BSN kepada pemenang cabutan yang dijalankan setiap bulan.

"PKNS sentiasa berusaha untuk memenuhi keperluan rakyat khususnya di negeri Selangor yang datang daripada pelbagai latar belakang dan klasifikasi pendapatan menerusi pembinaan perumahan mampu milik.

"Di samping itu, PKNS berhasrat meningkatkan tahap pemilikan kediaman kepada lebih ramai masyarakat terutamanya golongan belia dan pembeli rumah pertama," katanya kepada media di majlis memeterai MoU bersama BSN di sini, baru-baru ini.

Kerjasama strategik ini membolehkan kedua-dua pihak memperolehi manfaat bersama dalam usaha meningkatkan kemajuan sektor perumahan khususnya di Selangor di bawah pembangunan PKNS dengan tawaran pakej pembiayaan yang komprehensif dari BSN meliputi projek pembangunan hartanah PKNS yang telah siap atau sedang dibina.

Sementara itu, Ketua Pegawai Eksekutif BSN, Jay Khairil berkata, BSN memahami keadaan yang dihadapi oleh pembeli rumah di mana pelbagai faktor perlu diambil kira terutamanya dari sudut kewangan.

"Oleh itu, BSN menyediakan kemudahan pembiayaan perumahan dengan margin sehingga 100 peratus merangkumi kos lain seperti perlindungan takaful gadai janji, yuran guaman serta yuran penilaian dengan tempoh sehingga 35 tahun atau sehingga usia pemohon mencecah 70 tahun," katanya.

Tidak hanya tertumpu dalam menawarkan pilihan pembiayaan yang komprehensif, BSN turut menawarkan khidmat nasihat bagi membantu pelanggan dalam merancang pengurusan kewangan mereka.

Artikel ini disiarkan pada : Rabu, 24 Mei 2023 @ 7:44 AM