Akhsan Zaini.
Akhsan Zaini.
Nabil Basaruddin


Kuala Lumpur: Permintaan terhadap pemilikan aset hartanah kediaman sentiasa meningkat dari tahun ke tahun apabila kesedaran mengenai kepentingannya turut meningkat, khususnya dalam kalangan generasi muda.

Namun begitu, golongan muda tidak seharusnya bertindak ‘gelojoh’ kerana pembelian aset hartanah kediaman haruslah bersesuaian dengan paras gaji yang diterima setiap bulan agar tidak mendatangkan kesulitan kelak.

Pelbagai inisiatif dan skim telah diperkenalkan oleh kerajaan melalui beberapa mandat yang disalurkan melalui institusi perbankan tempatan seperti Bank Simpanan Nasional (BSN).

BSN menerusi mandat Skim Perumahan Belia (YHS) dengan kerjasama Cagamas Berhad dan Kumpulan Wang Simpanan Pekerja (KWSP) diwujudkan bagi membantu pasangan berkahwin berusia 25 hingga 40 tahun memiliki rumah pertama dengan pendapatan isi rumah bulanan tidak melebihi RM10,000 serta harga rumah di bawah RM500,000.

Naib Presiden Kanan/Ketua Jabatan Pengedaran BSN, Akhsan Zaini berkata, skim YHS berkenaan adalah inisiatif bersepadu yang diperkenalkan kerana ia bukan sahaja membantu pasangan muda untuk memiliki rumah, malah ia juga peluang terbaik direbut ketika ini.

Beliau berkata, golongan muda seharusnya meneliti dengan lebih terperinci mengenai jenis rumah yang ingin dibeli merangkumi kemudahan dan pengangkutan awam serta lokasi sekeliling dan paling penting harga rumah terbabit.

“Harga rumah kini begitu tinggi dan mengatasi jumlah pendapatan anak muda. Jadi, sudah menjadi kewajipan kepada golongan ini untuk memilih jenis rumah yang bersesuaian dengan kadar gaji sendiri dan bukan mengikut kemahuan.

“Kami sentiasa menyedari golongan muda dihimpit pelbagai masalah bagi mengatur kehidupan mereka dan antaranya kesukaran memiliki rumah sendiri berbanding dulu dan melalui mandat diberikan kerajaan, BSN menawarkan YHS yang menyediakan kebolehupayaan dalam pemilikan rumah kepada generasi muda yang berkahwin,” katanya dalam temu bual bersama Bisnes Metro, di sini.

Akhsan berkata, sebelum menandatangani perjanjian pembiayaan perumahan, pastikan belanjawan diri dan keluarga dilakukan bagi memastikan keupayaan kewangan setimpal dengan komitmen hartanah yang bakal dibuat.

“Ia begitu penting kerana pembeli rumah perlu bersedia dengan komitmen jangka masa panjang, jadi kemampuan membuat bayaran balik sangat perlu dititikberatkan.

“Selain itu, mereka juga perlu melengkapkan diri dengan pengetahuan mengenai pasaran hartanah kediaman perumahan secara am dan khusus kerana ia sangat berguna dalam proses merancang pembelian rumah,” katanya.

Menurut satu kajian dilakukan mendapati golongan paling memerlukan bantuan dalam pemilikan kediaman adalah mereka yang sudah berkahwin dan berusia antara 25 hingga 40 tahun dan mempunyai kelayakan memiliki rumah sendiri tetapi tidak mampu menyediakan 10 peratus deposit dan kos lain seperti kos guaman.

YHS yang dilancarkan pada Oktober 2015 menawarkan pembiayaan untuk 20,000 peminjam yang berkelayakan berdasarkan konsep ‘siapa cepat dia dapat’. Permohonan pembiayaan akan diproses dan diluluskan berdasarkan kriteria skim serta standard kredit yang tercatat dalam bank masing-masing.

Mengulas lanjut, Akhsan berkata, sebagai institusi kewangan, BSN turut memikul tanggungjawab dalam merancakkan kembali pasaran hartanah, terutamanya dalam segmen kediaman di samping menjadikan rumah lebih mampu untuk dimiliki.

Artikel ini disiarkan pada : Sabtu, 3 September 2016 @ 5:04 AM