MAS yang menjalani penstrukturan semula kini perlu beroperasi sebagai entiti perniagaan sepenuhnya. - Foto NSTP (Fail)
MAS yang menjalani penstrukturan semula kini perlu beroperasi sebagai entiti perniagaan sepenuhnya. - Foto NSTP (Fail)

Kuala Lumpur: Zaman Malaysia Airlines (MAS) sebagai syarikat penerbangan legasi bagi Malaysia sudah berakhir dan MAS yang sedang menjalani penstrukturan semula kini perlu beroperasi sebagai entiti perniagaan sepenuhnya, kata bekas Menteri Pengangkutan Tan Sri Ong Tee Keat hari ini.

Menurut beliau walaupun segelintir pihak berkemungkinan masih emosi mengenai MAS sebagai syarikat penerbangan legasi, sentimen ini tidak perlu pada masa kini disebabkan realiti persaingan yang semakin sengit dalam industri penerbangan.

"Kita tidak boleh lagi berfikir pada takuk lama untuk terus mengekalkan MAS sebagai syarikat penerbangan legasi, tetapi perlu menjadikannya sebagai entiti

komersial, bersaing secara agresif dalam dunia perniagaan, berorientasikan keuntungan,” katanya mengulas Malaysia Airlines berhad (MAB) mengambil alih syarikat penerbangan itu bermula 1 September lalu.

Ong menjelaskan syarikat penerbangan legasi memerlukan kerajaan membelanjakan jumlah subsidi besar bagi memastikan MAS terus beroperasi seperti dilakukan sejak beberapa tahun lalu, dan itu "tidak lain tidak bukan adalah duit rakyat" dan Malaysia tidak lagi berupaya berbuat demikian.

"MAS yang baharu ini tidak boleh lagi dianggap syarikat penerbangan legasi tetapi perlu berpaksikan keuntungan seperti syarikat penerbangan lain di rantau ini seperti Japan Airlines (JAL) dan Garuda Indonesia.

“Syarikat penerbangan legasi adalah milik masa silam dan bukan bagi abad ke-21,” katanya.

Menurut Ong MAS Baharu bakal menghadapi cabaran mendatang yang semakin sengit dan sukar berikutan pelaksanaan Polisi Langit Terbuka Asean yang dipersetujui negara-negara Asean pada 2009 ketika beliau menjadi Menteri Pengangkutan.

"Berdasarkan senario sebegini, saya berpendapat MAS Baharu dengan kumpulan pengurusan dan strategi baharu akan berupaya berdaya saing dalam situasi pasaran baharu itu.

“MAS menjalani penstrukturan semula secara menyeluruh dan kesungguhan mereka dalam mengurangkan pekerja dan berusaha untuk mengubah budaya kerja dengan konsep pemasaran baharu di bawah pimpinan Ketua Pegawai Eksekutifnya Christoph Mueller," katanya. - BERNAMA

Artikel ini disiarkan pada : Khamis, 1 Oktober 2015 @ 6:04 PM