Oleh Sri Ayu Kartika Amri

Kuala Lumpur: Bank Negara Malaysia (BNM) melihat masih tiada keperluan untuk menambat mata wang ringgit kepada dolar Amerika Syarikat (AS), biarpun aliran unit tempatan itu terus merekodkan nilai lemah sejak September 2014.

Gabenornya, Tan Sri Dr Zeti Akhtar Aziz berkata, jika tambatan ringgit dilakukan, ia akan menyebabkan pengubahsuaian kepada faktor ekonomi lain.

Beliau berkata, pada masa ini kerajaan tidak membayangkan sebarang langkah seperti kawalan modal kerana Malaysia mempunyai mekanisme pasaran yang disesuaikan dengan keadaan ekonomi tertentu.

“Jika mata wang ditambat, ia akan mempengaruhi sama ada harga atau keadaan permintaan dan kemungkinan besar memberi kesan terhadap ekonomi negara.

“Kita juga perlu mempunyai asas kukuh yang membolehkan kita untuk menyesuaikan diri, sekali gus mendapatkan semula kekuatan mata wang Malaysia,” katanya selepas ucaptama di Simposium Global peringkat tinggi, Malaysia-Pertubuhan Kerjasama Pembangunan Ekonomi (OECD) di sini, semalam.

Zeti berkata, kelemahan ringgit adalah hasil daripada banyak faktor global dan BNM akan memastikan pasaran akan kekal teratur.

Menurutnya, mengenai kemungkinan kemerosotan import menjejaskan ringgit, beliau berkata, BNM masih belum mengesan mengenai perkara itu.

Beliau berkata, keadaan pemintaan adalah lebih penting dalam menjejaskan eksport dan import negara tetapi ia pasti akan terdapat paras di mana ia mula memberikan kesan.

Zeti berkata, perkembangan ringgit sehingga akhir tahun ini, bergantung kepada perkembangan selanjutnya kerana terdapat terlalu banyak ketidaktentuan dalam dunia ketika ini, termasuk bilakah Bank Rizab Persekutuan AS akan keluar daripada kadar faedah sifar serta harga tenaga dan komoditi.

“Kita perlu menunjukkan kita boleh terus hidup di bawah ketidaktentuan itu. Walaupun berlaku pelbagai rintangan, kita berulang kali menunjukkan yang kita mampu pulih dengan cepat,” katanya.

Mengenai kemungkinan berlakunya aliran keluar bon bernilai RM11 bilion, Zeti berkata, ia bukan perkara yang membimbangkan kerana institusi kewangan tempatan seperti Kumpulan Wang Simpanan Pekerja (KWSP) dan Tabung Haji dijangka mampu tampil menyokong serta membeli semula bon berkenaan.

Artikel ini disiarkan pada : Khamis, 1 Oktober 2015 @ 6:12 AM