Oleh Sri Ayu Kartika Amri

Kuala Lumpur: Ekonomi Malaysia mencatat pertumbuhan sebanyak 4.9 peratus pada suku kedua 2015 berbanding 5.6 peratus pada suku pertama 2014, didorong terutamanya oleh permintaan sektor swasta.

Gabenor Bank Negara Malaysia (BNM) Tan Sri Dr Zeti Akhtar Aziz berkata, Malaysia kini setara dengan ekonomi global yang turut menyaksikan pertumbuhan pada kadar sederhana.

Beliau berkata, ekonomi dunia tumbuh pada tahap sederhana pada suku kedua dan permintaan domestik terus menyokong pertumbuhan dalam persekitaran eksport yang lemah.

“Penggunaan swasta dijangkakan terus membuat pelarasan kepada pengenalan Cukai Barang dan Perkhidmatan (GST) dengan pertumbuhan gaji dan kedudukan pasaran buruh yang stabil akan menyediakan sokongan kepada perbelanjaan isi rumah.

“Manakala, ekonomi Malaysia dijangka kekal dalam laluan yang kukuh, dengan permintaan domestik terus menjadi pemacu utama pertumbuhan,” katanya pada sidang media pengumuman Keluaran Dalam Negara Kasar (KDNK) suku kedua di sini, semalam.

Menurutnya, pada suku kedua ini penggunaan swasta meningkat lebih sederhana pada kadar 6.4 peratus berbanding 8.8 peratus pada suku pertama apabila isi rumah membuat pelarasan perbelanjaan berikutan pelaksanaan GST.

Zeti berkata, pelaburan swasta berkembang lebih sederhana, sebanyak 3.9 peratus, disebabkan penurunan dalam perbelanjaan untuk mesin dan peralatan, terutama dalam segmen pengangkutan, selain pelaburan yang lebih perlahan dalam perkhidmatan kediaman.

Pertumbuhan dalam pelaburan swasta, bagaimanapun negatif pada suku kedua (-8.0 peratus berbanding 0.5 peratus pada suku pertama), sebahagian besar disebabkan beberapa projek perusahaan awam hampir siap yang lebih daripada mengimbangi pertumbuhan positif perbelanjaan modal kerajaan persekutuan.

Sementara itu, beliau berkata, Bank Negara Malaysia (BNM) tidak akan menambat ringgit atau memperkenal kawalan modal bagi membendung kejatuhan nilai mata wang tempatan itu yang kini kira-kira 3.99 berbanding dolar.

Katanya, keadaan sekarang tidak memerlukan langkah seperti itu kerana ekonomi Malaysia terus kukuh dan banyak perkembangan positif sedang berlaku.

“Keadaan yang ekstrem adalah apabila kita terjerumus ke dalam kemelesetan yang serius. Kita tidak menjangka (perkara ini berlaku di sini) kerana kita menstruktur semula ekonomi kita,” katanya.

Selain itu, negara ini tidak kekurangan akses kepada kredit yang menjadi satu lagi kriteria keadaan krisis ekonomi yang ekstrem dan pada suku kedua, pembiayaan bersih berkembang 8.3 peratus dengan pinjaman kepada perusahaan kecil dan sederhana meningkat 17.2 peratus.

Zeti berkata, reaksi spontan seperti menambat ringgit dan kawalan modal akan hanya memberi kesan sementara manakala turun naik dijangka berterusan beberapa bulan lagi sehingga ketentuan mengenai arah dasar dalam ekonomi utama seperti Amerika Syarikat (AS) dan Eropah.

Artikel ini disiarkan pada : Jumaat, 14 Ogos 2015 @ 6:34 AM