Oleh Sri Ayu Kartika Amri

Kuala Lumpur: Bank Negara Malaysia (BNM) tidak mengeluarkan sebarang surat pekeliling kepada bank untuk menghentikan mereka daripada menerima penetapan kadar mata wang daripada bank luar pesisir.

Gabenornya Tan Sri Dr Zeti Akhtar Aziz berkata, BNM tidak mengeluarkan pekeliling seperti itu dan pihaknya hanya menguatkuasa semua peraturan yang ada.

“Tidak ada apa yang khusus dan kami mengingatkan penggiat di pasaran mengenai peraturan yang sudah ditetapkan,” katanya selepas merasmikan Persidangan Findex Global Bank Dunia di sini, semalam.

Zeti mengulas laporan bahawa BNM sudah mengeluarkan pekeliling kepada peniaga pertukaran asing daripada institusi tempatan dan asing minggu ini.

Menurut laporan itu, BNM sudah mengeluarkan pekeliling kepada jabatan perbendaharaan institusi kewangan pada Selasa lalu untuk tidak membenarkan bank pesisir pantai daripada menerima penetapan kadar mata wang daripada bank di luar pesisir.

Gabenor bank itu juga menegaskan yang BNM tidak merancang menambat ringgit.

“Tiada hasrat untuk menambat (ringgit) atau beralih kepada rejim kadar pertukaran yang kurang fleksibel kerana Malaysia mempunyai sistem kewangan yang teguh, kukuh dan berdaya tahan.

“Negara mempunyai paras rizab yang tinggi dan itulah tujuan rizab, untuk menjadi penampan ketika tempoh ini,” katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Jumaat, 21 Ogos 2015 @ 3:18 PM