Kuala Lumpur: Bank Negara Malaysia (BNM) dan Bank of Thailand (BOT) menggalakkan penggunaan mata wang ringgit dan baht oleh sektor swasta untuk menyelesaikan perdagangan dua hala serta pelaburan langsung.

BNM dan BOT dalam kenyataan bersama yang dikeluarkan semalam berkata, pengaturan itu mengurangkan risiko dedahan terhadap turun naik mata wang penyelesaian global dan untuk mengurangkan kos transaksi kepada sektor perniagaan.

Kedua-dua bank pusat itu semalam menandatangani memorandum persefahaman (MoU) berhubung pembentukan rangka kerja kerjasama itu.

MoU itu ditandatangani oleh Gabenor BNM Tan Sri Dr Zeti Akhtar Aziz dan rakan sejawat BOT Dr Prasarn Trairatvorakul.

Sementara itu, Zeti berkata, pembentukan rangka kerja itu merintis jalan ke arah integrasi kewangan dan ekonomi yang lebih meluas di rantau ASEAN.

“Pengaturan dua hala ini mengukuhkan aliran perdagangan dan pelaburan antara kedua-dua negara serta mendorong hubungan ekonomi yang lebih erat untuk kemajuan rantau ini,” katanya.

Prasarn berkata, pengaturan dua hala itu menandakan pencapaian penting bagi menyokong komitmen kedua-dua negara untuk menggalakkan penggunaan mata wang tempatan bagi penyelesaian perdagangan dan pelaburan dalam kalangan komuniti ASEAN.

“Saya percaya pengaturan ini akan mengukuhkan lagi kerjasama serta menggalakkan perkembangan ekonomi dan pelaburan di rantau ini,” katanya. - BERNAMA

Artikel ini disiarkan pada : Jumaat, 28 Ogos 2015 @ 6:48 AM