Oleh Mohd Hasbi Sidek

Klang: Anggota polis dari Balai Polis Pandamaran cedera di kepala dan beberapa bahagian badan selepas ditetak sekumpulan penjenayah yang turut melarikan barang mangsa dalam kejadian di depan rumahnya di Taman Kim Chuan, Pandamaran, Klang, pada 5 pagi tadi.

Ketika kejadian mangsa baru tiba dan keluar dari kenderaannya untuk masuk ke rumah sebelum tiga lelaki yang menaiki kereta Proton Waja berhenti berhampirannya.

Ketua Jabatan Siasatan Jenayah Selangor Datuk Mohd Adnan Abdullah berkata, suspek yang bersenjatakan tiga bilah parang menyerang anggota dari Cawangan Pencegahan Jenayah itu dengan niat untuk menyamun dan bertindak menetak kepala serta badan mangsa sebelum melarikan diri.

"Mereka melarikan beg sandang digunakan mangsa yang mengandungi bekas peluru pistol jenis Walter dengan 15 peluru hidup.

"Turut dilarikan dua telefon bimbit jenis Samsung Note 4, dompet mangsa mengandungi wang tunai RM500, lesen memandu, kad kuasa, MyKad serta kad ATM," katanya.

Bagaimanapun katanya, pistol milik anggota polis berkenaan tidak dilarikan.

Menurutnya, akibat daripada tetakan itu, mangsa menerima 10 jahitan di kepala selain calar bahu dan dalam keadaan stabil.

"Anggota berkenaan kini dirawat di Hospital Tengku Ampuan Rahimah (HTAR) Klang dan polis kini sedang menjejaki suspek," katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Rabu, 30 September 2015 @ 6:28 PM