Gambar ini adalah ihsan Polis Diraja Malaysia
Gambar ini adalah ihsan Polis Diraja Malaysia
Siraj Mohd Zaini


Klang: Kanak-kanak lelaki ditemui selamat oleh orang awam di Masjid Kampung Dagang, Klang, selepas kenderaan pacuan empat roda dinaikinya dilarikan penjenayah.

Kanak-kanak lima tahun itu dikatakan bersama bapa saudara ke rumah datuknya di Taman Pendamar Indah, Pelabuhan Klang, pada 3.45 petang semalam.

Ketua Polis Daerah Klang Selatan Asisten Komisioner Alzafny Ahmad berkata kenderaan dipandu lelaki berusia 37 tahun itu diletakkan di depan rumah itu.

Katanya, bapa saudara kanak-kanak itu tidak mematikan enjin dan kanak-kanak itu tidak keluar daripada kenderaan itu.

"Bapa saudara mangsa hanya masuk di bahagian pagar rumah datuk budak itu mengambil barang anaknya. Selang beberapa minit, dia menyedari kenderaannya sudah dilarikan.

"Di dalam kenderaan itu juga mengandungi barang miliknya termasuk kad pengenalan, lesen, serta telefon bimbit," katanya.

Beliau berkata, pihaknya kemudian dimaklumkan menerima panggilan daripada awam yang menemui mangsa di Masjid Kampung Dagang, Jalan Kampung Jawa, pada 5.30 petang semalam.

“Kereta masih belum ditemui. Kanak-kanak berkenaan tidak cedera,” katanya.

Katanya, siasatan lanjut masih diteruskan dan kes disiasat mengikut Seksyen 363/379A Kanun Keseksaan kerana melarikan orang dan mencuri kenderaan

Artikel ini disiarkan pada : Khamis, 27 April 2017 @ 8:45 AM