Oleh Mohamad Azim Fitri Abd Aziz

Petaling Jaya: Polis menemui kembali Volvo S80 bersama Smith & Wesson Magnum milik bekas Timbalan Pengarah Kementerian Keselamatan Dalam Negeri dan Ketenteraman Awam (KDNKA) Bukit Aman, Datuk Ramli Karim yang dilarikan penjenayah di hadapan kediaman anaknya di Damansara Kim, di sini, semalam.

Ketua Polis Daerah Petaling Jaya, Asisten Komisioner Azmi Abu Kassim, berkata hasil maklumat dan risikan Bahagian Jenayah Berat (D9) Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Petaling Jaya menemui kembali kereta, senjata api dan telefon bimbit milik Ramli yang dilarikan.

"Hasil siasatan mendapati kereta mangsa ditinggalkan di hadapan rumah di Seksyen 5, dalam keadaan pintu tidak berkunci dan kunci ditinggalkan tergantung di suis kereta kira-kira 10 malam.

"Senjata api milik mangsa bersama 26 peluru turut ditemui di bawah tempat duduk pemandu," katanya dalam satu kenyataan media, hari ini.

Dalam kejadian kira-kira 9.20 pagi, mangsa berusia 68 tahun dikatakan singgah ke rumah anaknya untuk membawa cucunya ke kelab golf sebelum dia dihampiri empat lelaki yang menunggang dua motosikal yang mana seorang daripada suspek masuk ke dalam kenderaan mangsa yang ditinggalkan dalam keadaan enjin tidak dimatikan.

Mangsa yang menjerit dan cuba mendapatkan kenderaannya kembali kemudian ditolak suspek yang kemudian bertindak melarikan diri bersama tiga lagi rakannya.

Artikel ini disiarkan pada : Sabtu, 6 Disember 2014 @ 5:41 PM