SEBAHAGIAN produk keluaran Prima Life.
SEBAHAGIAN produk keluaran Prima Life.
Oleh NORIAH IDRIS

Kuala Lumpur : Prima Life Marketing, pengeluar produk susu kambing Prima Life yakin mampu menjana pendapatan kira-kira RM20 juta menjelang akhir tahun ini bersandarkan kepada jualan lebih RM50,000 sebulan produk susu kambing keluarannya yang mendapat sambutan baik pengguna sejak diperkenalkan setahun lalu.

Pemilik yang juga Pengarah Urusan Prima Life Marketing, Riduan Hashim berkata, pengguna kini semakin menyedari kepentingan susu kambing yang mengandungi khasiat tersendiri terutama protein kompleks yang baik untuk kesihatan.

Beliau berkata, syarikat melakukan pemasaran strategik bersama lebih 100 ejen di negara ini dan menjalin perkongsian bijak bersama pembekal dari Songkhla, Thailand bagi meningkatkan lagi pemasaran kepada pengguna di kedua-dua negara.

“Bagi mengembangkan lagi syarikat ke peringkat global, kami sedang membangunkan kilang sendiri dan beroperasi di Lembah Klang dengan sasaran eksport ke negara jiran seperti Indonesia, Filipina dan Brunei,” katanya kepada Bisnes Metro.

Menurutnya, bagi memantapkan lagi mutu produk, pelbagai penyelidikan dan pembangunan produk (R&D) dilakukan dalam memastikan keberkesanan produk itu menerusi pelbagai penambahbaikan dari semasa ke semasa.

“Kajian saintifik oleh pakar pemakanan kami menunjukkan kelebihan susu kambing tidak mengandungi protein kompleks iaitu penyebab utama alahan selain kandungan asid lemak agak sedikit dan baik untuk kesihatan.

“Lebih menarik, susu kambing Prima Life ini diolah dalam bentuk serbuk dan mengandungi kalsium dan protein yang tinggi dengan laktosa lebih rendah serta mudah dicerna hanya dalam 20 minit,” katanya yang boleh dilayari menerusi laman web www.primalife2u.com.

Riduan berkata, rumusan bahan terpilih seperti kolagen rumpai laut, inulin serta formulasi tanpa bau dipercayai dapat mengekalkan kecantikan serta awet muda kerana kombinasi serta khasiatnya turut menyokong pembinaan tisu lembut yang bersambung dengan tulang badan.

Katanya, kelebihan susu kambing dikatakan mampu membantu merawat kencing manis, sakit jantung, darah tinggi, asma, migrain, angin ahmar dan beberapa penyakit berkaitan usus.

Artikel ini disiarkan pada : Selasa, 11 November 2014 @ 5:04 AM