SHAHARUDIN bersama isteri ketika menerima anugerah.
SHAHARUDIN bersama isteri ketika menerima anugerah.
Yusliza Yakimir Abd Talib

SUSU kambing pada awalnya sering dianggap berbau hamis dan kurang enak. Namun, seiring perkembangan zaman, susu kambing melalui proses pembuatan berteknologi tinggi untuk menghasilkan susu dalam bentuk serbuk yang bebas bau hamis dan ditambah perisa enak untuk dinikmati sesiapa saja.

Selain menawarkan kalsium yang tinggi, pengambilan susu kambing secara teratur mampu mencegah pereputan tulang (osteoporosis), mengekalkan protein dan asid amino dalam badan pada tahap yang diperlukan.

Kini produk minuman susu kambing sentiasa mendapat permintaan tinggi kerana manfaatnya selain ia dikatakan susu terbaik selepas susu ibu.

Menyedari pentingnya setiap orang mengekalkan kesihatan melalui makanan, Shaharuddin Ismail tekad menawarkan kebaikan susu kambing menerusi produk susu kambing In’san keluaran syarikatnya Tasty Beverage Sdn Bhd.

Menurut Shaharuddin, amalan dan gaya hidup masyarakat di negara ini yang semakin tidak sihat mendorongnya untuk menawarkan produk yang berguna dan berkhasiat untuk seisi keluarga.

Katanya, semakin ramai yang berdepan penyakit kronik seperti kencing manis dan darah tinggi kerana pemakanan yang tidak sihat, mengandungi lemak tinggi dan nutrisi rendah.

“Kami sedar, melalui makanan juga kita boleh mengekalkan kesihatan sekiranya makanan dipilih itu daripada sumber yang baik seperti susu kambing.

“Sebab itu, kami memilih menghasilkan produk susu kambing untuk membolehkan pengguna menikmati manfaat nutrien semula jadi di dalam susu itu,” katanya.

Menurutnya, pengeluaran produk pertama iaitu susu kambing pada 2016 dengan pengenalan dua perisa iaitu asli dan coklat dan terbaru susu kambing berperisa kurma.

Bagaimanapun, katanya, mengukuhkan jenama itu di pasaran tidak semudah disangka memandangkan produk susu kambing juga tidak terlepas daripada persaingan.

Apa yang dilakukan adalah memastikan kualiti, rasa dan harga memuaskan hati pelanggan selain menambah baik produk yang dihasilkan berdasarkan maklum balas pelanggan.

Shaharudin terlebih dulu terbabit dalam perniagaan berasaskan kejuruteraan alam sekitar dan memberanikan diri menceburi bidang makanan dan minuman kerana mahu mencuba sesuatu yang baru.

Baginya, cabang perniagaan ini lebih berisiko dan mencabar namun mendapat kepuasan apabila melihat jenamanya terus dikenali.

“Walaupun menguruskan dua syarikat dalam bidang yang jauh berbeza, ia tetap memberi kepuasan sama. Awalnya saya mahu cuba memasarkan produk berasaskan kopi kerana terikut-ikut dengan pasaran semasa.

“Tapi selepas kajian menyeluruh dibuat, susu kambing memberi prospek lebih baik kerana ketika itu, produk ini masih baru dan pengeluarannya tidak begitu meluas.

“Namun, apa yang memberi cabaran adalah penerimaan orang ramai terhadap produk ini yang dilihat agak mahal. Tapi, saya tidak berputus asa, meskipun banyak kos dilaburkan untuk pemasaran, akhirnya jenama ini mampu berdiri setanding jenama terkenal di pasaran,” katanya.

Usaha dan penat lelah membangunkan produk itu nyata tidak sia-sia kerana baru-baru ini syarikatnya memenangi anugerah Super Health Brand oleh The Asia Pacific Book of the Top 2018 & 2019 pada Mei lalu.

Syarikat itu juga memenangi satu lagi anugerah pada Ogos lalu iaitu Super Health Brand oleh International ECommerce Digital Award & 1st BrandTech Launching.

Katanya, produk itu diperbuat daripada bahan asas susu kambing berkualiti yang diimport dari Belanda manakala proses pembuatan dan pembungkusan dijalankan di kilang yang mempunyai sijil amalan pembuatan baik (GMP).

Produk itu juga sesuai dinikmati semua lapisan usia dari kanak-kanak dua tahun ke atas, ibu mengandung, dewasa dan juga orang tua.

Selain itu, dia amat menitikberatkan pengeluaran dan sentiasa mengawal supaya produk dihasilkan bermutu tinggi dan menepati piawaian dibenarkan.

Bapa kepada tiga cahaya mata itu turut berhasrat membantu lebih ramai suri rumah menjana pendapatan sebagai ejen produk susu kambing perisa kurma yang akan dilancarkan dalam masa terdekat.

Selain susu kambing, syarikat itu turut mengeluarkan produk minuman dan makanan tambahan di bawah jenama sama antaranya, Mega Peach, Promeal, Coffee Perwira, Madu Tualang Pluz, Madu Habattus Sawda Pluz, Jus Nutanicious Pluz, Jus Moricious Pluz, Jus Segar dan Jus Borneo.

“Kami berharap dapat menjadi peneraju produk premium dengan harga berpatutan bagi memastikan semua lapisan masyarakat dapat manfaat dan menikmati produk keluaran kami.

“Selain dapat menikmati manfaat susu kambing yang penuh khasiat, pengguna juga boleh beramal kerana sebahagian daripada pembelian akan didermakan ke tabung kanser,” katanya.

Katanya, pihaknya juga peka dengan keperluan masyarakat khususnya golongan yang kurang bernasib baik. Oleh itu, ia sering mengambil bahagian dalam pelbagai aktiviti kemasyarakatan dengan menyumbang wang tunai serta produk susu kambing ke rumah anak yatim, anak istimewa dan rumah kebajikan. Ini selaras dengan hasrat syarikat itu berkongsi hasil dengan pihak yang memerlukan.

“Harapan saya agar dapat melihat budaya minum susu kambing oleh semua lapisan masyarakat kerana kandungan nutrisi yang baik untuk kesihatan.

Artikel ini disiarkan pada : Isnin, 3 Disember 2018 @ 5:30 AM