Oleh Dang Setia

Saya gadis berusia 24 tahun dan mempunyai pasangan berusia 31 tahun. Kami berkenalan ketika sambutan ulang tahun rakan sekerja yang juga kenalan rapatnya. Segala-galanya mengenai dirinya cukup sempurna termasuk segi rupa serta kerjaya.

Cuma yang menghalang perhubungan kami ialah agama serta budaya. Dia bersetuju untuk mendalami Islam tetapi keberatan untuk mempraktiskan. Contoh dia tidak boleh henti tabiat minum minuman keras kerana sudah sebati.

Kami sering bertelagah disebabkan hal berkenaan. Dia kata sanggup tukar agama tetapi tidak mahu terikat dengan suruhan agama. Saya sayangkannya tetapi hal ini terlalu berat untuk saya pikul.

Saya tidak mahu masalah timbul kemudian hari. Baru-baru ini dia memujuk saya ingin berusaha menjayakan hubungan kami.

Namun saya rasa sudah tawar hati serta mahu cari pasangan benar-benar ikhlas terhadap saya. Saya tidak rasa teman lelaki boleh berubah menjadi lebih baik seperti suami yang diharapkan?

ARALE, Kuala Lumpur

Simpati Dang Setia mendengar luahan saudari mengenai hubungan cinta. Tidak dinafikan setiap wanita mengharapkan kekasihnya mempunyai kerjaya stabil serta rupa menarik. Apabila menemui pasangan memenuhi pakej menarik, tentu terlalu sayang untuk dilepaskan.

Dang Setia faham saudari benar-benar dalam dilema sukar dirungkaikan. Usah dilihat mengenai manfaat jangka masa pendek, sebaliknya nilai sejauh mana saudari harapkan daripada kehidupan berumah tangga kelak.

Bagi Dang Setia, tidak salah memberi peluang kepada kekasih dalam mendidik mengenali agama. Cuma kalau dia berkeras untuk tidak menilai komitmen perlu dipikul, saudari kena bertegas mengenai keputusan untuk terus bersamanya ataupun tidak.

Nilai semula saranan Islam mengenai kriteria dalam memilih pasangan. Agama menjadi pendahulu dalam senarai ciri baik jika memilih pasangan. Seperti mana pernah disebut dalam satu hadis, Rasulullah SAW bersabda yang maksudnya,

“Janganlah kamu kahwin dengan perempuan kerana kecantikannya, kerana boleh jadi mereka akan merugikan. Dan jangan kerana hartanya, kerana boleh jadi mereka akan mendurhakai. tetapi kahwinlah kerana agamanya. Sesungguhnya seorang budak perempuan hitam yang pecah hidungnya tapi beragama adalah lebih baik.”

Justeru, terpulang sejauh mana saudari terdaya bersabar dalam usaha membantu menguatkan akidah teman lelaki dalam mengenali Islam.

Jika si dia hanya berniat mengahwini tanpa kesediaan mengubah jalan hidup seperti disarankan Islam, Dang Setia bimbang itu mempengaruhi kehidupan setelah berkahwin. Maka tepuk dada tanyalah selera, kehidupan seperti mana saudari dambakan sebaik berkahwin kelak?

Artikel ini disiarkan pada : Ahad, 25 Oktober 2015 @ 12:32 AM