(EMPAT dari kiri) Thanuja, Sarah dan Aishah (dua dari kanan) teruja dilantik menjadi duta kepada laman berkenaan.
(EMPAT dari kiri) Thanuja, Sarah dan Aishah (dua dari kanan) teruja dilantik menjadi duta kepada laman berkenaan.
Oleh Hajahfarhana Tarmudi


Jika dulu, ramai yang berasa sangsi dan bimbang jika bantuan yang dihulurkan kepada pertubuhan atau orang tertentu akan disalahgunakan kepada perkara tidak berfa­edah.

Kini, anda tidak perlu lagi risau kerana boleh mencari badan bukan kerajaan (NGO) yang berdaftar dan menjalankan misi berbeza untuk menghulurkan bantuan mahupun menjadi sukarelawan.

Ini kerana NGO kini boleh mendaftar dalam laman sesawang, ngohub.asia yang dibangunkan syarikat SOLS 24/7 Malaysia bagi membantu pertubuhan itu mendapatkan sumbangan kewangan dan menambah sukarelawan.

Pengarah SOLS 24/7 Malaysia, Raj Ridvan Singh berkata, idea untuk menyatukan NGO dan sukarelawan dalam satu platform adalah cara mudah bagi pertubuhan serta komuniti bekerjasama.

"Sebagai NGO, kami faham mengenai cabaran yang perlu dilalui dan percaya sokongan daripada komuniti sangat penting untuk menjayakan misi atau objektif yang dirancang.

"Justeru, saya sangat berbangga kerana dapat memperkenalkan platform penting ini yang memberi kebaikan kepada semua NGO di seluruh negara untuk memudahkan mereka berhubung dengan komuniti.

"Laman ini ditubuhkan untuk menyatukan NGO dan sukarelawan secara berdaftar. Di sini, mereka boleh memohon untuk mendapat­kan bantuan yang diperlukan seperti dana, bara­ngan mahupun sukarelawan," katanya pada majlis pelancaran laman berkenaan, baru-baru ini.

Hadir sama, Pengarah Eksekutif 7Eleven Malaysia, Tan UMing dan Pengarah Jabatan Pendaftaran Pertubuhan (ROS) Selangor, Noraf­fendy Abd Khalid.

Raj menambah, semua maklumat berkaitan NGO dan aktiviti yang diadakan boleh dilihat oleh pelawat laman berkenaan yang berminat untuk menyumbang barangan keperluan ataupun menjadi sukarelawan.

Dalam majlis berkenaan, Noraffendy turut menambah, ruang atas talian inovatif ini menawarkan penyelesaian komprehensif dengan menghubungkan NGO secara dalam talian di negara ini dengan penderma dan sukarelawan.

"Ia membantu NGO mempromosi profil pertubuhan dalam talian dan maklumat boleh dilihat oleh orang awam selepas mereka mendaftar di ngohub.asia.

"Seterusnya, mereka (NGO) boleh mengambil dan mempunyai sukarelawan untuk menyertai pertubuhan, memohon geran dalam bentuk sokongan material serta senarai aktiviti mereka secara dalam talian," katanya.

Tambahnya, ROS Selangor akan membantu mengenali beberapa persatuan kebajikan berdaftar dan NGO untuk me­nyertai ngohub.asia.

"Setakat ini, lebih 10,000 NGO berdaftar di bawah ROS Selangor dan kita menggalakkan mereka mendaftar di bawah ngohub.asia. Ini peluang istimewa untuk NGO berkembang dengan bantuan teknologi talian pada era digital ini," katanya.

Sementara itu, Tan berkata, pihaknya memberi bantuan dengan menyediakan geran bernilai antara RM50 hingga RM5,000 secara bulanan kepada permohonan yang layak dan berjaya menerusi laman itu.

"NGO yang berdaftar di laman berkenaan boleh memohon geran itu bagi memenuhi barangan yang diperlukan pada projek yang dilaksanakan.

"Geran berkenaan akan diberikan kepada pertubuhan yang layak terutama NGO yang benar-benar memerlukan bantuan berdasarkan penilaian daripada ahli jawatankuasa terbabit," katanya.

Tambahnya, pihaknya juga akan menyediakan poster dan risalah maklumat bagi mempromosikan laman berkenaan di setiap cawangannya dan media sosial.

Bukan itu saja, malah pihaknya juga akan menjual barangan terpilih sebagai sokongan kepada kempen berkenaan bagi mengutip dana untuk disumbangkan kepada pertubuhan memerlukan.

Menerusi program penjagaan komuniti, jenama berkenaan ingin meneruskan usaha mereka membantu golongan kurang upaya (OKU) mahupun yang memerlukan bantuan melalui Dana Penjagaan Masyarakat 7Eleven Malaysia.

Sejak tiga tahun lalu, jenama berkenaan sudah membelanjakan lebih RM4 juta untuk mengadakan pelbagai program disertai pertubuhan badan amal, persatuan dan pihak memerlukan seperti Yayasan Buah Pinggang Kebangsaan Malaysia, Hospital Mata Tun Hussein Onn dan Yayasan Orang Kurang Upaya Kelantan.

Menariknya, platform baru itu menawarkan penyelesaian komprehensif dengan menghubung­kan NGO, penderma dan sukarelawan secara dalam talian.

Laman sesawang itu dibangunkan oleh SOLS 24/7 Malaysia dengan kerjasama ROS Selangor dan 7Eleven Malaysia. Lebih menarik, NGO boleh mendapatkan sukarelawan bagi menyertai pertubuhan atau program yang dijalankan, memohon geran dalam bentuk sokongan material serta menyenaraikan aktiviti yang akan terpapar pada ruang dalam talian berpusat itu.

Teruja menjadi duta

Tiga selebriti terkenal tanah air, Aishah Sinclair, Sarah Lian dan Tanuja Ananthan turut dipilih menjadi duta untuk ngohub.asia berdasarkan sumbangan mereka dalam pelbagai aktiviti amal yang disertai.

"Secara peribadi, saya akui agak sukar untuk mendapatkan bantuan dana dan sokongan daripada komuniti selepas terbabit dalam dua NGO sebelum ini.

"Laman ngohub.asia ini membantu menyampaikan mesej pertubuhan secara langsung kepada komuniti di samping menggalakkan mereka untuk terbabit sama dalam aktiviti amal.

"Kini, ramai orang gemar mencari peluang untuk menjadi sukarelawan menerusi media sosial, secara dalam talian ataupun berdasarkan saranan rakan mereka," kata Aishah.

Namun, tidak ramai yang menemui pertubuhan yang menjalankan misi seperti diinginkan dan disebabkan itu platform baru ini membantu memudahkan mereka mencari NGO yang diminati.

Sementara itu, Sarah yang aktif dengan Generasi Gemilang juga bersetuju dengan pandangan Aishah. Katanya, dia melihat banyak kebaikan dengan tertubuh­nya ngohub.asia itu.

"Ia umpama orang te­ngah dan aktiviti kami akan bermula November depan. Kami juga akan turun padang menyertai aktiviti yang dikendalikan selepas bergelar duta kepada laman ini.

"Di Malaysia ada ba­nyak organisasi dan persatuan badan bukan kerajaan. Masing-masing ada objektif tersendiri namun berkongsi niat yang sama iaitu menjaga kebajikan masyarakat, memulihara alam sekitar, mencari tempat perlindungan untuk haiwan dan banyak lagi," katanya.

Kesibukan tugas sebagai model dan pelakon tidak menghalang Aishah daripada menjadi sukarelawan kerana ia dilakukan dengan ikhlas.

Aktif dengan aktiviti kemanusiaan dan menjadi duta beberapa NGO yang membabitkan usaha menyelamat­kan haiwan terbiar, Thanuja tidak mahu terlepas peluang untuk memberi sokongan terhadap penubuhan laman berkenaan.

Dia berasa gembira kerana penubuhan laman itu memudahkan NGO lain untuk memantapkan lagi aktiviti yang akan dilaksanakan di samping mencari bantuan dalam bentuk dana dan tenaga kerja.

"Ramai yang menghantar e-mel dan bertanya me­ngenai aktiviti mahupun persatuan yang menjalankan aktiviti amal. Saya berasa gembira kerana dapat membantu NGO menyalurkan maklumat.

"Dengan tertubuhnya ngohub.asia, ia membuatkan saya lebih mudah mempromosikan semua persatuan yang ingin melakukan aktiviti. Sesiapa yang ingin me­nyertai majlis amal bolehlah terus berhubung melalui ngohub.asia," katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Selasa, 11 November 2014 @ 5:00 AM