Oleh Yusliza Yakimir Abd Talib


Selaras kepesatan industri fesyen, kasut tidak ketinggalan mengalami revolusi hingga ia dianggap sebagai satu keperluan dari segi gaya dan personaliti seseorang.

Seperti pakaian, kasut sama penting kepada setiap orang sebagai perlindungan kepada kaki ketika berjalan, malah aspek keselesaan kepada kaki si pemakai amat perlu dititikberatkan.

Bagi pengusaha kasut dalam talian Arare.co, Ara Sazalee, bukan sekadar fesyen dan cantik semata-mata, kasut seharusnya selesa, berkualiti dan memberi keyakinan kepada si pemakai.

Katanya, Arare.co menitikberatkan keselesaan dalam setiap produk, malah kasut dibuat hasil tangan sepenuhnya. Selain mengutamakan keselesaan, ia juga tahan lama dengan hasil tangan yang halus dan berkualiti tinggi.

Selain itu, pengunaan tapak kasut yang lembut juga memberi kesan terhadap pemakaian yang selesa.

“Bagi sandal pula, keselesaan di lengkung kaki diberi keutamaan kerana ia memberi kesan yang bagus kepada kesihatan tubuh badan, selain penggunaan bahan yang bermutu untuk menghasilkan sandal yang bagus.

“Sandal yang kami hasilkan juga menampilkan rekaan menarik dan unik sesuai untuk lelaki mahupun perempuan.

“Apa yang membezakan butik ini, setiap rekaan yang dibuat melambangkan keperibadian si pembeli sendiri,” katanya.

Mengusahakan perniagaan yang beroperasi di Kuching, Sarawak, Ara berkata, kasut jenama itu terbahagi kepada dua iaitu rekaan signature iaitu rekaan kasut pertama rekaannya yang dinamakan Rihana, Ariana Grande, Snow White, Maleficent, Gatsby, Adam Lavine dan Sam Smith.

Rekaan kedua pula kasut edisi terhad dan tidak dikeluarkan semula dengan hanya satu kasut satu saiz dan satu rekaan. Setiap kasut edisi terhad mempunyai ciri unik tersendiri yang tidak dapat dicari dan dibeli di tempat lain.

Menurutnya, setiap koleksi mempunyai keunikannya seperti koleksi Princess yang diilhamkan daripada watak puteri Disney yang mempunyai personaliti dan perwatakan berbeza antaranya Puteri Anastasia, Puteri Elsa dan Puteri Anna.

“Kami juga tidak mengehadkan pemilihan warna sebaliknya bergantung kepada kesesuaian. Kadang-kadang warna yang cantik tidak semestinya akan nampak cantik apabila digunakan, jadi kami tidak mengehadkan pilihan warna dan ia bergantung kepada rekaan yang dihasilkan,” katanya.

Selain kasut, Arare.co turut menghasilkan sandal yang boleh digayakan baik lelaki atau perempuan dan koleksi terbaru mengetengahkan koleksi pahlawan.

Lima sahabat pahlawan Melayu iaitu Tuah, Jebat, Kasturi, Lekir dan Lekiu diambil sebagai ilham menghasilkan sandal tradisional tapi trendy, selain menerapkan dan mengambil rekaan Barat sebagai contoh.

Koleksi kasut tinggi yang cantik dan menarik juga dihasilkan buat wanita dan lebih menarik, Arare.co mempunyai koleksi bersaiz kanak-kanak hingga dewasa bersaiz besar.

“Tiada masalah buat mereka yang bersaiz kaki besar atau terlalu kecil kerana kami boleh membuatnya agar sesuai untuk semua saiz,” katanya.

Ara berkata, aspek keselesaan amat dititikberatkannya, justeru, penggunaan tapak kasut getah yang sangat lembut dah mampu menyerap hentakan dengan baik memberi keselesaan kepada pengguna selain material kain yang berbeza dan unik.

“Untuk sandal, kami gunakan tapak yang boleh memberi sokongan terhadap kaki, secara tidak langsung memberi kesan yang baik terhadap kesihatan tulang belakang si pemakai.

“Kulit sintetik yang mudah melentur digunakan supaya dapat mengikut bentuk kaki dan selesa dipakai. Bahan ini dipilih kerana mudah didapati dan menpunyai banyak pilihan warna. Ia juga amat selesa digunakan dan tiada alahan sampingan terhadap pengguna,” katanya.

Gadis kelahiran Kuantan, Pahang itu berkata, pada 2013 dia mengeluarkan koleksi kasut rata menggunakan tangan dan koleksi pertama itu mendapat sambutan yang amat memberangsangkan daripada pembeli di Malaysia.

Hingga pada hujung 2014, jenama itu mula mendapat tempat di hati pembeli dari Brunei, Singapura serta Thailand dan terus menempa nama di negara ini.

Dengan harga yang berpatutan bersama kualiti dan rekaan terbaik, koleksi Arare.co boleh didapati pada harga serendah RM30 hingga RM150.

“Kami akan terus mengetengahkan idea yang unik dan luar biasa untuk pembeli supaya mereka boleh membuat banyak pilihan. Kami berharap dapat terus meluaskan pasaran ke luar negara agar dapat bersaing dengan nama besar dalam penghasilan kasut ini,” katanya.

Mereka yang berminat mendapatkan koleksi butik ini boleh mendapatkannya menerusi Instagram dan Facebook arare.co.

Artikel ini disiarkan pada : Sabtu, 26 September 2015 @ 5:00 AM