TAMPIL kasual dan bersahaja.
TAMPIL kasual dan bersahaja.
Oleh Hajahfarhana Tarmudi


Bayangkan senyuman riang gadis fesyenista apabila dapat me­nyarungkan sepasang kasut yang selesa digandingkan dengan beg tangan sesuai personaliti diri dan mengikut trend semasa.

Menggayakan beg silang atau tote mengikut cara diinginkan sama ada disangkut di bahu, lengan atau digenggam juga menyerlahkan kebijaksanaan gadis dalam berfesyen.

Pelbagai pilihan warna bermula rona asas seperti hitam, coklat dan kelabu hingga ton terang masih menjadi keutamaan buat jenama terkenal, Carlo Rino.

Deretan pilihan warna ditampilkan bagi memenuhi cita rasa wanita yang mahu tampil berani dan elegan namun masih mengekalkan ciri feminin.

Setiap koleksi beg tangan mempunyai ciri istimewa tersendiri, terpulang kepada si pemakai untuk memilih rekaan sama ada gemarkan keunikan material bersulam, kulit dan satin, bercorak unik atau potongan beg yang berbeza.

Tidak lengkap penampilan tanpa sepasang kasut yang selesa dan tampak senada dengan penampilan beg tangan kesayangan. Bagi wanita elegan yang mementingkan kekemasan, kasut sarung bertumit rendah dan bertutup penuh lebih sesuai.

Selain rekaan yang teliti, corak pada tumit juga memberikan kelainan pada penampilan khususnya tatkala menari, temu janji bersama insan tersayang mahupun di dalam bilik mesyuarat.

Berbeza bagi wanita yang mahu tampil seksi dan manis, deretan pilihan kasut sarung bertumit rendah dengan rekaan bertutup separuh bersama hiasan reben adalah kombinasi yang menarik untuk digayakan.

Ketelitian memilih kasut atau sandal sesuai tatkala perlu berjalan jauh turut mempengaruhi penampilan yang kekal ceria dan bersahaja.

Jika banyak berjalan ketika bercuti atau beli-belah, lebih baik memakai kasut sarung atau sandal bertali dengan tapak rata yang direka untuk memberi keselesaan berpanjangan.

Artikel ini disiarkan pada : Sabtu, 6 Jun 2015 @ 5:03 AM