Oleh Nor Faizah Mohamed


Sesuatu pengembaraan pastinya tidak akan lengkap tanpa kasut yang selesa dan bergaya.

Apalah maknanya kembara jika sepanjang masa kaki menderita dek pilihan kasut yang sekadar cantik di luar tapi kurang berkualiti di bahagian dalamnya.

Tanyalah pada mana-mana pengembara, kasut adalah salah satu perkara paling utama untuk aktiviti menjelajah.

Tidak kiralah mendaki cerun di kawasan pergunungan atau sekadar melihat suasana hingar penduduk tempatan di ruang pasar, kasut menjadi tanda aras kepada pengembaraan yang menyeronokkan.

Faktor keselesaan itulah yang mendorong Larrie memperkenalkan barisan sepatu menarik buat si pengembara tegar.

Diilhamkan daripada trend kembara dalam kalangan warga kota, Larrie menjelajah keunikan Osaka di Jepun.

Sejak 2004, Larrie menerbitkan jurnal kembara yang memperlihatkan lokasi menarik dan eksotik untuk koleksi kasut juga busana santainya.

Johannesburg, Cape Town, Bali, Siem Reap, Ho Chi Min, Jogjakarta dan Taipei antara lokasi terdahulu yang dirakamkan keindahannya dalam jurnal itu.

Bagi jurnal ‘Globetrotter’ kali ini, rona segar seperti kuning, merah dan biru diberi penampilan utama sambil diselangi pilihan warna klasik.

Tumpuan utama bagi musim ini adalah rekaan sandal yang terbuka di bahagian jari dengan tapak kasut berwarna-warni dalam himpunan Larrie Casual.

Tidak ketinggalan flip-flop atau selipar dwiwarna dan sepatu loafer. Rekaan ini boleh didapati dalam variasi biru, hijau, perang, hijau gelap, kuning dan merah.

Mengetengahkan teknologi kalis air, ringan dengan tapak yang lembut dan tidak mudah tergelincir, Larrie Casual sememangnya padan untuk aktiviti luar yang santai.

Segmen sukan Larrie kali ini memperkenalkan sneaker jenis slip-on, selain sneaker klasik dan sandal. Ringan, selesa dan penuh gaya. Himpunan ini bukan saja sesuai untuk aktiviti lasak, malah sebagai kasut untuk acara santai.

Majoriti rekaan dalam koleksi ini boleh didapati dalam pilihan biru, jingga, kuning, dan hijau.

Himpunan Larrie Sport ini nyata berteraskan gaya maskulin dengan padanan kasut sneaker yang dilapisi fabrik khas untuk memudahkan peredaran udara.

Menariknya, ia ringan dan tidak membebankan kala disarungkan ke kaki.

Tidak ketinggalan padanan aksesori menarik seperti beg kanvas, beg silang dan beg pinggang dalam rona neon.

Artikel ini disiarkan pada : Jumaat, 10 April 2015 @ 1:25 PM