OZLYNN akui sejak Johan popular masa kualiti bukan lagi hak milik kekal mereka.
OZLYNN akui sejak Johan popular masa kualiti bukan lagi hak milik kekal mereka.
Oleh Sudirman Mohd Tahir


Tidak dinafikan Johan Raja Lawak kini pelawak paling menonjol.

Selain muncul juara Maharaja Lawak Mega 2012 bersama Jozan, lawak Johan diiktiraf apabila dinobat sebagai Artis Komedi Lelaki Popular pada Anugerah Bintang Popular BH 2011 dan Bintang Top Top MeleTOP Lelaki Anugerah MeleTOP Era 2015 lalu.

Malah, dalam program Super Spontan All Star yang kini ditayangkan serta segmen JoHaRa di Era FM, Johan dilihat paling menonjol.

Tidak keterlaluan jika dikatakan Johan atau nama sebenarnya Mohd Yazid Lim Mohamad Aziz adalah penerus legasi lawak dalam industri hiburan tempatan.

Dalam kehidupannya, mahu tidak mahu dia perlu akur setiap inci kini menjadi milik masyarakat.

Namun, Johan beruntung kerana isteri tercinta Ozlynn Wati sentiasa ada di sisi.

Ozlynn ketika ditemui berkata, sejak Johan popular dia mengakui istilah ‘privasi’ sudah tidak ada dalam keluarga mereka.

“Bagaimanapun, sekarang peminat lebih memahami dan menghormati. Jika dulu ketika sedang makan pun diganggu, kini tidak lagi.

“Dulu macam-macam dugaan diterima. Mungkin sebab dia pelawak, jadi orang boleh buat sesuka hati,” katanya.

Menurut Ozlynn, selepas mengetahui sikap sebenar Johan iaitu hanya ‘gila-gila’ ketika bekerja, tetapi serius apabila di luar, barulah mereka hormat.

“Sebagai pengurus dan isteri, saya sangat memahami situasi berkenaan, cuma kasihan dengan anak-anak. Namun, saya selalu beritahu mereka itulah kehidupan sebenar bapa mereka.

“Kalau betul-betul nak luangkan masa bersama, kami akan ke luar negara. Bukan nak mengelak, tapi Johan jenis tak sampai hati nak tolak setiap permintaan peminat jika mahu bergambar dengannya.

“Baginya itulah masa nak hargai sokongan peminat selama ini. Tambahan pula ada segelintir peminat jarang berjumpa artis,” katanya.

Ozlynn berkata, biarpun masa kualiti bukan lagi hak milik kekal mereka, tapi dari segi kerjaya kualiti menjadi keutamaan Johan.

“Saya sentiasa rancang yang terbaik untuk suami, malah saya cuba susun sebaiknya. Nak mengekalkan populariti bukan mudah. Jadi, formula Johan ialah sentiasa menjaga kualiti.

“Bukan apa, setiap hari ada saja artis baru muncul. Bezanya ialah kualiti,” katanya.

Dalam perkembangan lain, Johan dan Ozlynn bakal digandingan sebagai pengacara menerusi program Betul Ker Bohong Sayang di saluran Astro selepas muncul dalam telefilem Hantu BlueRey.

Enggan tamak

Resipi kejayaan Johan hari ini adalah dia sentiasa berkongsi rezeki dengan rakan artis lain.

Menurut Ozlynn, Johan selalu berpesan supaya tidak tamak dan tidak rugi jika berkongsi.

Katanya, jika ada mana-mana tawaran yang Johan tak boleh buat, dia pasti cadangkan nama rakan lain.

Dalam pada itu, Ozlynn turut menjelaskan mengapa mereka kerap menolak sebarang sesi fotografi dengan media.

Katanya, perkara itu bukan disengajakan, tetapi kerana Johan tidak mahu jika perkongsian itu lebih berkisar hal peribadi.

“Johan lebih suka berkongsi mengenai kerjaya seni sebab dari dulu lagi dia seboleh-bolehnya tidak mahu terlalu bercerita hal keluarga.

“Jika ada perkembangan terbaru dan boleh dikongsi dengan peminat, dia OK. Baginya keluarga adalah peribadi,” katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Isnin, 21 September 2015 @ 5:01 AM