AKSI Darren bersama Eastbourne Borough FC.
AKSI Darren bersama Eastbourne Borough FC.
Oleh Azlan Muhammad Zain

Kuala Lumpur: Pemain kacukan Malaysia-Inggeris, Darren Lok (gambar) diharapkan mampu mempelbagaikan pilihan dalam mengatasi masalah kekurangan penyerang berkaliber untuk saingan domestik dan skuad negara.

Penyerang berusia 25 tahun itu yang kini bersama Kelab Eastbourne Borough (pasukan yang beraksi di liga keenam bola sepak Inggeris) serius untuk mendapatkan kewarganegaraan Malaysia.

Perkembangan berkenaan disahkan bekas pemain Australia dan Sabah, Scott Ollerenshaw yang kini menjadi orang tengah membantu pemain berkenaan.

“Saya berusaha untuk menyelesaikan dokumen yang diperlukan membabitkan pemain ini, mungkin menjelang Disember semuanya boleh diselesaikan.

“Pada pengamatan saya, dia seorang penyerang yang bagus dengan mempunyai saiz fizikal dan kekuatan. Jadi, dia mungkin antara penyerang yang mampu diketengahkan,” katanya.

Ollerenshaw sebelum ini bertanggungjawab membawa Junior Eldstal (England) dan Brendan Gan (Australia) mendapatkan pasport Malaysia.

Malah, Ollerenshaw menerusi laporan Arena Metro baru-baru ini, turut dalam proses untuk membantu enam pemain berdarah kacukan yang lain mendapatkan kerakyatan Malaysia.

Enam pemain berkenaan adalah Curran L Singh Ferns (Australia - pemain tengah) Daniel Ting (England - pertahanan tengah), Kevin Siak Khin Gunter (Switzerland - pemain tengah), Nicholas Ryan Swirad (England - pertahanan tengah), Samuel Somerville (England - penjaga gol) dan Shazlee Ramlee (Australia - pemain tengah).

Usaha mendapatkan pemain berdarah kacukan menyertai Liga-M dilihat mampu memberikan sedikit lonjakan kepada pasukan dan skuad negara.

Artikel ini disiarkan pada : Ahad, 20 September 2015 @ 5:04 AM