Oleh Shukor Amin

Tanjung Karang: Lelaki ditemui lemas selepas motosikalnya terbabas dan terjunam ke sungai di Ban Cannal Blok E, Sawah Sempadan, Tanjung Karang, 2.20 pagi ini.

Mayat Mohd Amin Usof Mohd, 19, ditemui pada 5.31 pagi, selepas operasi mencari dan menyelamat dilakukan anggota Balai Bomba dan Penyelamat Tanjong Karang.

Penolong Pengarah Operasi Bomba dan Penyelamat Selangor Mohd Sani Harul, berkata mangsa menunggang motosikal bersama Nur Athirah Fauzan, 19.

Bagaimanapun, katanya, Nur Athirah terselamat dalam kejadian itu.

Beliau berkata, tujuh anggota dan pegawai terbabit dalam operasi mencari dan menyelamat di kawasan sungai itu.

“Mayat mangsa diserahkan kepada polis dan dihantar ke Hospital Tanjung Karang untuk tindakan lanjut," katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Sabtu, 19 September 2015 @ 4:40 PM