AHMED (dua dari kanan) bersama keluarganya.
AHMED (dua dari kanan) bersama keluarganya.
Agensi

Texas: Syarikat gergasi teknologi, Facebook, Twitter dan Google serta Institut Teknologi Massachusetts (MIT) adalah antara yang berebut untuk mendapatkan remaja yang ditahan selepas gurunya menyangka jam digital buatannya bom.

Ahmed Mohamed memperoleh sokongan luar biasa selepas kejadian di Sekolah Tinggi MacArthur, Texas, yang melihat dia digari dan dibawa ke pusat tahanan juvana.

Remaja Islam berusia 14 tahun itu membawa jam yang dipasangnya pada papan litar dan menggunakan wayar lama yang ditemui di garaj bapanya.

Seorang gurunya menyangka Ahmed membawa bom ke dalam kelas dan pengetuanya membuat laporan polis.

Bagaimanapun, pengalaman buruk itu membawa tuah kepada Ahmed.

Organisasi teknologi terkemuka Amerika Syarikat kini bersaing untuk mendapatkan pelajar inovatif itu.

MIT, antara institusi paling terkenal di dunia menawarkan kepada Ahmed untuk belajar di situ.

Dalam wawancara lintas langsung dengan stesen televisyen MSNBC, pegawai Jabatan Fizik MIT Chanda Prescod-Weinstein berkata: “Anda pelajar ideal saya. Orang kreatif seperti kamu layak untuk menjadi ahli fizik.”

Chanda juga mempelawa Ahmed melawat MIT dan berkata, bekas penasihatnya di Universiti Harvard juga mahu membawa remaja itu mengunjungi bahagian astrofizik mereka.

Tawaran juga diterima daripada dunia rangkaian sosial.

Menulis dalam laman rasmi Facebooknya, pengasas laman itu Mark Zuckerberg berkata: “Memiliki kemahiran dan cita-cita untuk membuat sesuatu yang menarik sepatutnya mendapat pujian, bukan ditahan. Masa depan adalah milik orang seperti Ahmed. Ahmed, jika kamu datang ke Facebook, saya gembira jika dapat bertemu kamu. Teruskan membina.”

Twitter juga menghubungi Ahmed dengan menulis: “Kami suka menghasilkan sesuatu di Twitter. Sudikah anda melakukan sesuatu bersama kami? Kami gembira jika dapat melakukannya!”

Google turut menghantar mesej kepada remaja berkenaan dengan berkata, ia menyediakan tempat untuk Ahmed di festival sains yang bermula hari ini dengan berkata: “Bawa jam anda bersama!”

Saintis Agensi Pentadbiran Angkasa Lepas Amerika Syarikat (NASA) turut mempelawa remaja itu melawat makmal mereka.

Ahmed, ketika bercakap pada sidang media mengenai penahanannya berkata: “Saya sudah da pat melihat dunia nyata. Saya tidak boleh melihat dunia seperti saya lihat sebelum ini. Saya sukakan sains. Tetapi saya dilihat menjadi ancaman kerana warna kulit saya.”

Bapanya Mohamed Elhassan Mohamed berkata, dia percaya kejadian itu ada kaitannya dengan agama.

“Anak saya amat kecewa. Dia mahu menjadi seperti Einstein. Dia banyak idea. Tak ada sekelumit niat jahat dalam dirinya. Saya percaya kejadian ini berlaku kerana Islamofobia dan kesan daripada 11 September,” katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Sabtu, 19 September 2015 @ 5:11 AM