SUASANA keseluruhan ruang tamu kedua yang juga ruang keluarga.
SUASANA keseluruhan ruang tamu kedua yang juga ruang keluarga.
Teks dan gambar Rashidah Ibrahim


Lumrahnya kalau seseorang mempamerkan sesuatu di dalam rumah sebagai hiasan, itu bermakna dia meminati barang berkenaan.

Maryam Yusoff gemarkan elemen hiasan menyerupai teko selain barang seumpamanya seperti alat penyiram, kendi atau cerek yang dijadikan unsur penyeri.

Hampir setiap ruang di dalam rumahnya di Kota Bharu, Kelantan, dihias himpunan barang berkenaan yang dianggap unik dan ada nilai tersendiri.

Sebaik melangkah masuk ke banglonya, sesiapa pasti teruja melihat koleksi hiasan itu yang mencecah ratusan unit dipamerkan di ruang tamu, ruang makan, dapur hatta di ruang menonton.

Maryam berkata, suaminya tidak pernah menghalangnya daripada meneruskan kegemaran itu.

“Bagaimanapun, sejak akhir-akhir ini dia galakkan saya kumpul set alatan hidang berserta teko yang boleh diguna, bukan teko antik yang sekadar hiasan,” kata Maryam yang mengakui mula mengumpul barang itu sejak tahun 80-an.

Ada peninggalan orang tua, pemberian kawan dan banyak juga dibeli sendiri.

Menurutnya, jika ada set peralatan hidangan yang pecah atau sudah tidak mahu diguna, dia memberikan cawan, piring dan pinggan kepada orang lain, tetapi menyimpan tekonya.

Sewaktu tinggal di Amerika Syarikat selama sembilan tahun kerana mengikut suami bekerja, Maryam giat mengumpul set barang seramik mempunyai teko pelbagai bentuk dan corak pelbagai jenama.

Selain teko tembikar dengan corak asal yang dijadikan hiasan, ada banyak juga teko, kendi dan penyiram daripada enamel yang dipamerkan.

Menariknya, semua bekas enamel itu diberikan corak decoupage.

“Dulu saya gila buat decoupage yang dipelajari menerusi YouTube. Mula-mula sekadar mencuba dan apabila menjadi, timbul rasa seronok.

“Membuatnya mudah saja dan kalau tekun, sebuah teko boleh siap dihias dalam masa sejam sahaja,” katanya.

Maryam berkata, semua teko enamel lama dalam simpanannya diberikan corak decoupage yang dibuat sendiri, apabila sudah jemu dia mengupah kawan membuatnya.

“Semua barang enamel itu ada nilai sentimental kerana diwarisi daripada orang tua selain dibeli,” katanya.

Walau macam mana buruk sekalipun teko dan kendi enamel, ia nampak cantik selepas ditampalkan corak decoupage.

Koleksi teko berkenaan dipamerkan atas rak dan kabinet terbuka di lantai dan pada rak di dinding.

Ditanya cara dia mencuci habuk, kata Maryam, itu bukan masalah kerana rumahnya tidak banyak habuk disebabkan

lubang tingkap dipasangkan jaring nyamuk. Jaring halus itu membantu menapis habuk daripada masuk terus ke dalam

rumah.

“Bagaimanapun, selalunya saya lap teko seminggu sekali, tapi ada kala berbulan juga tidak disentuh. Selalunya saya cuci sendiri kerana tidak puas hati kalau orang lain membuatnya,” katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Sabtu, 19 September 2015 @ 5:02 AM