KOLEKSI rak telur hiasan ilham kreatif Rostam Affandi.
KOLEKSI rak telur hiasan ilham kreatif Rostam Affandi.
ANTARA MDF yang diperlukan untuk menghasilkan rak telur hiasan.
ANTARA MDF yang diperlukan untuk menghasilkan rak telur hiasan.
PROSES pemotongan MDF mengikut rekaan yang diinginkan.
PROSES pemotongan MDF mengikut rekaan yang diinginkan.
DUA koleksi rak telur hiasan ilham kreatif Rostam Affandi.
DUA koleksi rak telur hiasan ilham kreatif Rostam Affandi.
REKAAN dihasilkan sesuai dengan gaya hidup masyarakat negara ini.
REKAAN dihasilkan sesuai dengan gaya hidup masyarakat negara ini.
REKAAN rak yang menyamai sebuah reban ayam.
REKAAN rak yang menyamai sebuah reban ayam.
Oleh Hartini Mohd Nawi


Melihat setiap rak telur hiasan dihasilkan pengukir kayu ini, tergambar betapa menariknya kreativiti seni yang diterjemahkan.

Jika sebelum ini, Rostam Affandi Abd Rashid, 52, cukup dikenali antara individu yang sinonim dengan ukiran kayu bermotifkan heliconia sebagai identiti dalam setiap rekaannya, kini dia tampil dengan kelainan.

Bagi peminat atau penggemar koleksi karya seninya itu pasti mengikuti perkembangan pengukir ini yang sentiasa kreatif selari dengan peredaran masa.

Terbaru, dia begitu serius menggarap kebolehannya dengan menghasilkan rak telur hiasan berasaskan papan gentian berketumpatan sederhana (MDF).

“Bagi saya ia antara idea rekaan yang unik dan warna terang membuatkan produk ini sesuai dijadikan tempat meletak telur di dapur atau menjadi hiasan pada ruang tertentu.

“Anda yang gemar menata hias kediaman dengan gaya Inggeris boleh menjadikan rak ini sebagai pelengkap,” katanya.

“Ia juga memberi pilihan kepada anda dan bebas memilih sama ada gaya decal, fork art atau decoupage yang menjadi elemen penting untuk gaya Inggeris.

Teknik celupan atau decal biasanya berlatarkan motif bunga-bungaan mawar dan menyuntik sentuhan baru dalam penataan gaya Inggeris.

Teknik folk art pula sinonim dengan hiasan dinding sementara itu, decoupage pula membabitkan teknik tampalan kertas dan pelekat khas.

Menjadikan bengkel di belakang rumah sebagai tempat mencurah idea, Rostam Affandi tidak menafikan dia sering menghabiskan masa di situ untuk menzahirkan idea terbaik dalam setiap rekaannya.

“Idea menghasilkan setiap rekaan untuk rak telur ini datang secara tiba-tiba dan tidak memerlukan saya untuk membuat lakaran terlebih dulu.

“Sebaliknya saya lebih gemar memulakan terus kerja pemotongan MDF ini mengikut rekaan tertentu.

“Itu juga tidak bermakna ia sekadar proses mudah kerana memerlukan ketelitian dan ketekunan sepanjang masa,” katanya yang menghasilkan lima rak sehari.

Malah rekaan rak berkenaan turut mempunyai identiti tersendiri sebaik dijadikan hiasan atau tempat meletak telur di dapur.

Bahagian atas, rekaan berbentuk ayam diketengahkan supaya produk itu tampil dengan pengenalan fungsinya sebaik berada pada ruang tertentu.

“Bagi menambahkan keunikan, rekaan dipelbagaikan dari rak telur biasa hingga menyamai sebuah reban ayam.

“Semua bergantung kepada permintaan dan sambutan amat menggalakkan,” katanya yang berharat meluaskan pasaran hingga ke luar negara satu hari nanti.

Lebih membanggakan kini, sudah 10 koleksi rak telur hiasan dihasilkan dan setiap rekaan diketengahkan dengan hasil pertukangan yang kemas dan sarat dengan seni.

Dia juga mengakui, bergelar pengukir yang hebat bukan satu laluan singkat. Segalanya menuntut kepekaan dan kesungguhan dalam menghasilkan produk terbaik berbeza daripada orang lain.

Bukan sekadar memberi tumpuan kepada penghasilan rak telur hiasan, malah Rostam Affandi turut menghias kediamannya dengan rak pelbagai guna hasil kerja tangannya sendiri.

Ternyata rak berkenaan benar-benar menarik perhatian apabila tampil dengan deretan aksesori hiasan luar negara termasuk teko, cawan dan pinggan.

Kesibukan menyiapkan tempahan rak telur hiasan turut memberi ilham kepadanya untuk memperkenalkan rekaan terbaru termasuk bekas tisu hiasan yang juga pelbagai guna.

Berminat, kunjungi Qistina Wood Craft di No 29, Jalan Kesuma 7/18, Bandar Tasik Kesuma, Beranang, Selangor.

Layari www. qistinawood­craft. blogspot.com atau Facebook Qistina Wood Craft atau e-mel ke rostam_ affandi@ yahoo.com untuk sebarang keterangan lanjut.

Artikel ini disiarkan pada : Sabtu, 24 Oktober 2015 @ 5:02 AM