SATU daripada lima kenderaan yang musnah terbakar. FOTO ihsan bomba
SATU daripada lima kenderaan yang musnah terbakar. FOTO ihsan bomba
Oleh Zatul Iffah Zolkiply

Jertih: Lima kenderaan termasuk dua motosikal terbakar dipercayai akibat perbuatan khianat dalam kejadian di Rumah Kos Rendah 2, Kampung Raja, di sini, pagi tadi.

Turut musnah dalam kebakaran yang dipercayai berlaku jam 4.40 pagi itu adalah sebuah pacuan empat roda (4X4) jenis Isuzu D-max milik seorang lelaki berusia 20-an dan dua Perodua Kancil yang dipercayai milik seorang daripada rakannya.

Difahamkan, kenderaan 4X4 dan motosikal berada dalam kawasan garaj kereta lelaki berkenaan manakala dua Perodua Kancil diletakkan di bahu jalan.

Ketua Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Besut, Penolong Penguasa Bomba Mohd Zailani Abdullah berkata, pihaknya menerima panggilan mengenai kejadian itu pada 4.56 pagi sebelum satu jentera dari BBP Besut dikejarkan ke lokasi kejadian bagi memadamkan kebakaran.

"Sebaik tiba di kawasan perumahan itu, kesemua kenderaan berkenaan sudah terbakar dan usaha mengawal kebakaran segera dijalankan bagi mengelak ia terus merebak ke kawasan kediaman.

"Api berjaya dikawal lima minit kemudian sebelum kerja memadamkan kebakaran sepenuhnya dijalankan. Ketika ini, jumlah kerugian dan punca sebenar kejadian masih dalam siasatan," katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Jumaat, 18 September 2015 @ 3:38 PM