Oleh Rizar Mohd Noor


Johor Bahru: Kelab Penyokong Bolasepak Johor Darul Ta’zim (KPBJDT) menggesa Persatuan Bolasepak Malaysia (FAM) menangguhkan perlawanan Kumpulan B Piala Malaysia antara Sarawak dengan Johor Darul Ta’zim (Johor DT) di Stadium Negeri, Kuching, pada 26 September ini.

Presiden KPBJDT, Azman A Jalil berkata, tarikh perlawanan Johor DT dan Sarawak itu terlalu rapat dengan pertembungan separuh akhir pertama Piala AFC, Johor DT menentang Al-Qadsia di Stadium Kelab Sukan Al-Kuwait, 29 September ini.

Katanya, FAM harus menunda perlawanan antara Johor DT dan Sarawak itu bagi memberi ruang kepada skuad bimbingan Mario Gomez membuat persiapan rapi untuk berdepan kelab dari Kuwait.

“FAM harus memberi kelonggaran kepada Johor DT dan menunda perlawanan menentang Sarawak yang dijadualkan 26 September ini ke satu tarikh lain bagi memberi ruang kepada pasukan itu membuat persiapan mengharungi aksi separuh akhir pertama itu.

“Kami sebagai penyokong berharap FAM prihatin dengan apa yang berlaku dan ia juga demi kebaikan bola sepak negara kerana Johor DT bukan menggalas tugas membawa nama Johor, tapi nama Malaysia,” katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Khamis, 17 September 2015 @ 5:04 AM