Oleh Rizar Mohd Noor


Johor Bahru: “Nasib baik Johor Darul Ta'zim (Johor DT) tewas 1-2 kepada Perak, jika Johor DT menang mungkin kami sebagai penyokong Johor DT tidak dapat balik ke Johor dengan selamat,” kata Mohd Fadzli Sapie.

Mohd Fadzli yang juga Timbalan Presiden Kelab Penyokong Bolasepak Johor Darul Ta’zim (KPBJDT) berkata, kekecohan di Stadium Perak berlaku pada babak kedua namun sempat dileraikan oleh anggota polis.

Namun katanya sebaik perlawanan tamat, keadaan semakin tegang apabila penyokong Perak melakukan provokasi dan bertindak melontar objek keras yang menyebabkan seorang penyokong Johor DT mengalami kecederaan dan terpaksa mendapat rawatan.

“Tidak keterlaluan saya katakan sikap penyokong Perak melampau dan tidak menghormati penyokong pelawat dan mereka seolah-olah begitu berdendam dengan kami yang hanya hadir untuk memberi sokongan kepada pasukan Johor DT.

“Sudah tiba masanya Persatuan Bolasepak Malaysia (FAM) mengambil tindakan tegas dan mengenakan denda terhadap Persatuan Bolasepak Perak (PAFA) yang gagal mengawal penyokong sendiri tapi kami memuji tindakan pantas anggota polis yang mengelak daripada kekecohan lebih buruk.

“Kami hadir ke stadium dengan niat menyatupadukan antara penyokong Johor DT dan Perak tapi kehadiran kami disambut dengan penghinaan malah pemain Johor DT terpaksa menaiki kenderaan polis bagi memastikan keselamatan mereka terjamin,” katanya yang mengetuai rombongan kelab penyokong menyaksikan perlawanan liga di Ipoh.

Mohd Fadzli berkata, sejumlah 3,000 penyokong Johor DT terpaksa berada di padang stadium hingga jam 12.40 malam dan selepas melihat suasana agak selamat barulah polis mengarah semua penyokong bergerak ke perkarangan Ibu Pejabat Polis Unit Simpanan Persekutuan (FRU) untuk menaiki bas dengan diiringi polis.

Katanya, perjalanan ke kawasan parkir dikawal ketat oleh polis namun masih ada penyokong Perak yang melontarkan kata-kata kesat dan penghinaan dan mujur penyokong Johor DT tidak mempedulikan apa jua penghinaan itu.

“KPBJDT akan membuat laporan rasmi kepada Persatuan Bolasepak Negeri Johor (PBNJ) dan kami membantah sekeras-kerasnya apa jua keganasan dalam kalangan penyokong bola sepak dan mahu FAM segera membendung sebelum lebih parah,” katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Ahad, 26 April 2015 @ 5:06 AM